DOHA: MotoGP menyingkap tirainya esok di Qatar, kali ini tanpa kelibat pelumba legenda Valentino Rossi.
Namun kekosongan ditinggalkan juara dunia tujuh kali itu bakal diisi adik tirinya Luca Marini.
Marini, 24, akan menunggang untuk pasukan Rossi VR46, yang membuat penampilan sulung di kejohanan itu.
Berlumba untuk musim keduanya, Marini, yang berusaha untuk keluar daripada bayangan abangnya, berkata bagaimanapun dia belum bersedia untuk merebut kejuaraan.
"Saya amat teruja untuk musim baharu kerana saya rasa cukup baik. Tahun lalu amat sukar kerana di awal musim, kami tidak dapat melakukan ujian dengan kerap. Jadi saya tergesa-gesa untuk memberikan saingan.
"Tahun ini persediaan lebih baik dan dua sesi ujian musim ini berjalan lancar, jadi saya amat gembira dengan perkembangan saya dan saya rasa akan lebih menikmati perlumbaan kali ini.
"Masih terlalu awal untuk mengatakan saya akan bersaing untuk kejuaraan tetapi tahap MotoGP sekarang hampir seimbang kerana jentera tidak banyak beza.
"Persaingan untuk kejuaraan adalah antara Francesco Bagnaia, Fabio Quartarar dan Marc Marquez tetapi kami tidak rugi apa-apa jika mahu mengambil risiko, tidak seperti mereka yang perlu memenangi gelaran dunia.
"Kami boleh mengimbangi persaingan antara pelumba ini tetapi saya rasa saya belum bersedia merebut kejuaraan kerana pasukan ini masih baru dan kami perlu belajar," kata Marini.
Pasukan MotoGP 2022
Aprilia Racing
#12 Maverick Vinales
#41 Aleix Espargaro
Ducati Lenovo Team
#43 Jack Miller
#63 Francesco Bagnaia
Gresini Racing MotoGP Ducati
#23 Enea Bastianini
#49 Fabio Di Giannantonio
Mooney VR46 Racing Team Ducati
#10 Luca Marini
#72 Marco Bezzecchi
Pramac Racing Ducati
#5 Johann Zarco
#89 Jorge Martin
LCR Honda
#30 Takaaki Nakagami
#73 Alex Marquez
Repsol Honda Team
#44 Pol Espargaro
#93 Marc Marquez
Red Bull KTM Factory Racing
#33 Brad Binder
#88 Miguel Oliveira
Tech3 KTM Factory Racing
#25 Raul Fernandez
#87 Remy Gardner
Team Suzuki Ecstar
#36 Joan Mir
#42 Alex Rins
Monster Energy Yamaha MotoGP
#20 Fabio Quartararo
#21 Franco Morbidelli
WithU Yamaha RNF MotoGP Team
#04 Andrea Dovizioso
#40 Darryn Binder
- AGENSI