Khamis, 3 March 2022 | 6:27pm
Pemilik WithU Yamaha RNF MotoGP Team, Datuk Razlan Razali (kanan) bersama Darryn Binder ketika ujian pra musim di Sepang, baru-baru ini.
Pemilik WithU Yamaha RNF MotoGP Team, Datuk Razlan Razali (kanan) bersama Darryn Binder ketika ujian pra musim di Sepang, baru-baru ini.

Pasukan Razlan sudah sedia hadapi kejuaraan motosikal dunia

KUALA LUMPUR: Pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Team sudah bersedia mengharungi cabaran kempen Kejuaraan Motosikal Dunia 2022 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, hujung minggu ini.

WithU Yamaha RNF MotoGP Team yang dimiliki Datuk Razlan Razali ini bakal mempertaruhkan pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso dan muka baharu dalam kelas perdana MotoGP, Darryn Binder.

Cabaran itu tentunya dinantikan Razlan yang mahu melihat kemampuan sebenar pasukan selepas menjalani beberapa siri ujian pra musim seperti di Litar Antarabangsa Sepang dan juga Litar Mandalika, Indonesia, baru-baru ini.

"Perlumbaan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia 2022 sudah semakin hampir dengan pusingan pertama di Doha, Qatar. Ia satu perlumbaan unik dengan lampu limpah, kelengkapan yang menarik, keadaan penuh cabaran dan sentiasa menyediakan perlumbaan yang menyeronokkan.

"Kami sudah bersedia. Kami amat menantikan perlumbaan pertama ini dan saya pasti ia juga dirasai sama oleh peminat di seluruh dunia. Kami melalui beberapa ujian di Sepang dan Mandalika.

"Kedua-dua pelumba cuba untuk memahami jentera terutama Binder yang menjadi 'rookie' dari kelas Moto3 ke MotoGP. Ia juga satu ujian buat keseluruhan kru yang menjadi sebuah pasukan baharu.

"Ini akan turut menjadi satu lagi ujian buat kami sebagai sebuah pasukan pada hari perlumbaan. Daripada sudut Binder, hampir keseluruhan pasukan adalah ahli baharu, jadi ia akan menjadi satu cabaran.

"Apapun, kami sudah bersedia. Banyak persiapan sudah dilakukan dan kami amat menantikan perlumbaan pertama bagi menggembirakan peminat MotoGP di seluruh dunia," kata Razlan.

Kempen 2022 bakal menyaksikan 21 pusingan perlumbaan dianjurkan dengan Litar Mandalika menjadi lokasi bagi Pusingan 2 pada 20 Mac manakala Grand Prix (GP) Argentina berlangsung pada 3 April.

Berita Harian X