Selasa, 22 Februari 2022 | 7:00pm
Pelumba muda, Muhammad Izam Ikmal.
Pelumba muda, Muhammad Izam Ikmal.

Izam sertai OneXOX TKKR Racing Team

KUALA LUMPUR: Pelumba muda, Muhammad Izam Ikmal menyarung sut perlumbaan pasukan OneXOX TKKR Racing Team bagi musim Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022.

Izam, 20, akan mewakili pasukan secara solo dalam kelas SuperSports 600cc dengan saingan kempen 2022 dijadual membuka tirainya di Litar Antarabangsa Chang,Thailand, bulan depan.

"Saya sudah bersedia untuk memberikan saingan dan membalas kepercayaan pasukan yang meletakkan saya dalam kategori cukup mencabar ini," kata Izam yang pernah menjadi pelumba gantian dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2018.

"Persediaan dari segi mental dan fizikal turut saya berikan perhatian dalam memastikan saya sentiasa fokus untuk memberikan aksi terbaik. Semestinya saya akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan kemenangan buat pasukan baharu saya ini."

Sementara itu, Prinsipal Pasukan, Bobie Farid Shamsuddin percaya Izam mampu memberikan saingan kepada pelumba lain dalam kelas berkenaan.

"Walaupun dengan usia yang masih muda, pengalaman beliau beraksi di pentas Kejuaraan Eropah (CEV) dan pengalaman dengan jentera berkuasa tinggi dilihat dapat memberikan impak dan saingan dalam kategori yang menghimpunkan pelumba hebat Asia," kata Bobie.

Pentas ARRC bukan asing buat Izam yang sebelum ini juga pernah menyertai kelas Asia Production 250 (AP250) dengan kali terakhir pada 2020 sebelum pandemik COVID-19 merencatkan kalendar perlumbaan selepas itu.

Berita Harian X