Isnin, 21 Februari 2022 | 6:57pm
Jazeman (tengah) bakal bersama pasukan Team Virage bagi saingan ELMS 2022.
Jazeman (tengah) bakal bersama pasukan Team Virage bagi saingan ELMS 2022.

Jazeman bakal berganding dengan 2 nama besar

KUALA LUMPUR: Pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar bakal bergandingan dengan dua nama besar antarabangsa, iaitu Rob Hodes dan Gabriel Aubry dalam kempen LMP2 di European Le Mans Series (ELMS) 2022.

Jazeman, Hodes dan Aubry akan membawa cabaran bersama pasukan Team Virage dalam kategori Pro-Am ELMS menggunakan jentera #51 Oreca 07.

"Saya sangat berbangga dan gembira dalam cabaran baharu ini menyertai Team Virage bagi saingan LMP2 di ELMS," kata Jazeman. "ELMS sudah membuktikan yang kejohanan ini menjadi salah satu lapangan kompetitif di Eropah.

"Dengan barisan pasukan yang disertai saya, Rob dan Gaby, menunjukkan yang kami serius untuk berjuang memburu keputusan baik.

"Team Virage sudah berusaha dengan gigih dan persiapan kami setakat in menunjukkan yang kami berkemampuan untuk melakukannya. Saya tidak sabar untuk musim baharu ini bersama rakan sepasukan."

Untuk rekod, Jazeman yang juga bekas pelumba ujian Mercedes Formula Satu (F1) mempunyai pengalaman luas dalam arena perlumbaan empat roda seperti di kejuaraan endurance.

Pelumba berusia 29 tahun ini juga pernah meraih pencapaian positif ketika penyertaannya di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), Asia Le Mans Series dengan berada di tempat ketiga pada 2021.

Kalendar musim ELMS 2022 dijadual membuka tirainya di Perancis 17 April ini sebelum ke Litar Imola, Itali pada 15 Mei. Saingan seterusnya berlangsung di Hungaroring, Hungary pada Julai sebelum Barcelona menjadi venue seterusnya, 28 Ogos.

Saingan seterusnya berlangsung di Francorchamps, Belgium pada 25 September dan Litar Portimao, Portugal menjadi venue penutup musim, 16 Oktober.

Berita Harian X