Rabu, 26 Januari 2022 | 5:33pm
Razlan (tiga dari kanan) ketika majlis pengenalan rasmi pasukan di Verona, Itali, baru-baru ini.
Razlan (tiga dari kanan) ketika majlis pengenalan rasmi pasukan di Verona, Itali, baru-baru ini.

WithU Yamaha letak 2 sasaran kejuaraan motosikal dunia

KUALA LUMPUR: Dua sasaran utama diletakkan WithU Yamaha RNF MotoGP Racing Team pada kempen Kejuaraan Motosikal Dunia 2022 yang dijadual membuka tirainya di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, pada 6 Mac ini.

Pasukan serpihan daripada PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team itu meletakkan sasaran untuk berada dalam senarai pasukan 'Independent Teams' terbaik bagi musim 2022 selain merebut gelaran rookie terbaik menerusi pelumbanya, Darryn Binder.

"Untuk musim 2022, kami mensasarkan untuk sekurang-kurangnya berada di antara pasukan terbaik dalam Independent Teams. Kami mahu bersaing gelaran rookie terbaik.

"Walaupun kami tahu ia satu cabaran besar dengan lima pelumba rookie berada dalam kempen 2022 dan Darryn menjadi satu-satunya daripada mereka yang diangkat dari saingan Moto3 ke MotoGP," kata Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali.

Selain Binder, 24, turut mewakili pasukan dalam kelas perdana MotoGP itu adalah naib juara tiga kali berturut-turut pada 2017, 2018 dan 2019, Andrea Dovizioso.

"Untuk Adrea, dia mempunyai banyak perkara untuk dibuktikan kembali selepas lebih enam bulan berehat," kata Razlan.

"Sudah tentu dia mahu mempamerkan sesuatu bukan saja untuk dirinya, tetapi semua orang yang dia masih mempunyai motivasi, pengalaman dan keinginan untuk merebut gelaran dunia."

Dalam satu pengenalan rasmi pasukan baru-baru ini, RNF MotoGP Racing Team turut memperkenalkan barisan pelumbanya dalam kelas MotoE iaitu Niccolo Canepa dan Bradley Smith.

Berita Harian X