Sabtu, 22 Januari 2022 | 8:38pm
Siri Jelajah PETRONAS Motosports diadakan di Melaka dari Jumaat hingga Ahad ini.
Siri Jelajah PETRONAS Motosports diadakan di Melaka dari Jumaat hingga Ahad ini.

Siri Jelajah PETRONAS ubat kerinduan peminat F1

MELAKA: Siri Jelajah PETRONAS Motorsports terus menarik minat pengunjung di sini yang ingin mengubat kerinduan terhadap sukan permotoran berprestij itu sejak kali terakhir jentera berteknologi tinggi daripada pelbagai pasukan beraksi buat kali terakhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 2017.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata meskipun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, pameran yang berlangsung Mahkota Parade di sini sejak semalam melepasi sasaran yang ditetapkan.

"Kami sasar dalam 1,500 sehari memandangkan SOP yang tidak membenarkan perkumpulan orang ramai namun di Melaka, pada hari pertama sahaja iaitu semalam sudah melepasi 1,500 orang dan kita jangka bertambah pada hari terakhir (esok).

"Ini membuktikan orang ramai rindu dengan sukan permotoran ini," katanya ketika ditemui pemberita di tapak pameran siri jelajah permotoran itu di sini hari ini.

Sazli berkata antara tarikan dalam pameran kali ini ialah simulator lumba kereta F1, permainan interaktif dan gerai jualan barangan eksklusif PETRONAS.

Beliau berkata sudah tentu tarikan utama ialah replika jentera FI 2021 yang membawa pasukan Mercedes AMG PETRONAS sebagai juara pengeluar musim ini dan kali kelapan.

Katanya, siri jelajah PETRONAS di Melaka adalah lokasi terakhir selepas Pulau Pinang dan Johor Bahru dan akan berehat sejenak sebelum kembali menjelajah ke pantai timur serta Sabah dan Sarawak selepas Aidilfitri nanti.

"Kita akan finale (berakhir) di Sepang. Dengan siri jelajah ini, kita harap dapat memberitahu orang ramai yang kita (PETRONAS) masih ligat dalam sukan F1 terutama dalam segi jenama dan teknikal," katanya.

Sementara itu seorang pengunjung Arshad Ismail, 35 mengakui teruja dapat melihat replika kereta lumba F1 dan berlumba di simulator.

"Macam lepas ketagihan sebab sudah lama tak ada pameran sukan bermotor macam ini. Sejak F1 tidak lagi diadakan di Sepang, memang tidak seronok sebab dulu, setiap tahun akan pergi sana tengok perlumbaan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X