Selasa, 18 Januari 2022 | 8:08pm
Saingan simulator terbesar dunia, Le Mans Virtual 24 Jam yang berlangsung Ahad lalu.
Saingan simulator terbesar dunia, Le Mans Virtual 24 Jam yang berlangsung Ahad lalu.

SEM9 Flash Axle keempat Le Mans Virtual 24 Jam

KUALA LUMPUR: Pasukan dari Asia Tenggara mempamerkan kehebatan dalam arena sukan permotoran apabila meraih tempat keempat dalam perlawanan simulator terbesar dunia, Le Mans Virtual 24 Jam yang berlangsung Ahad lalu.

Axle Sports milik bekas pemandu Formula Satu (F1) Alex Yoong, mempertaruhkan dua pasukan yang bersaing dengan pelumba handalan seluruh dunia antaranya juara dunia (F1), Max Verstappen, Juan Pablo Montoya dan beberapa nama besar dalam perlumbaan simulator dunia.

Dalam kategori LMP, jentera bernombor 21 dari pasukan SEM9 Flash Axle yang dikemudi pemandu negara, Naquib Azlan, Inigo Anton (Filipina), Mohammad Aleef (Singapura) serta Josh Purwien (Australia) berjaya meraih tempat keempat selepas melakukan percaturan taktikal yang berkesan dalam perlumbaan selama 24 jam itu.

Biarpun dikenakan hukuman penalti dan pada satu ketika jatuh di kedudukan ke-12, wakil rantau ini tidak mengalah apabila Aleef mempamerkan pemanduan bertenaga untuk meletakkan pasukan di tangga kelima pada penghujung perlumbaan.

Wakil Malaysia, Naquib Azlan yang masih lagi segar dengan kejayaan di pentas SEA EC baru-baru ini, memastikan Flash Axle memintas kedudukan YAS HEAT untuk berada di tempat keempat sebelum Anton mempertahankan kedudukan sehingga tamat perlumbaan.

"Saya amat berbangga dengan mereka. Mereka menggunakan pengalaman beraksi pada edisi tahun lalu dan akhirnya kita berjaya memperbaiki kedudukan jauh lebih baik.

"Saya sentiasa percaya mereka mampu untuk bersaing dengan pelumba handalan dunia," kata Alex yang juga pengurus pasukan dalam satu kenyataan.

Pasukan SEM9 Flash Axle menamatkan saingan di tempat ke-10 keseluruhan bagi kategori LMP sementara SEM9 Axle menduduki tempat ke-15 dalam kelas GTE.

Berita Harian X