Jumaat, 17 Disember 2021 | 6:41pm
Aksi Mohd Izam Ikmal. - Foto ihsan Cub Prix Malaysia
Aksi Mohd Izam Ikmal. - Foto ihsan Cub Prix Malaysia

Izam Ikmal cipta kejutan di Cub Prix, Sepang

KUALA LUMPUR: Ketika tumpuan terarah kepada lima pelumba yang bersaing bagi merebut gelaran juara keseluruhan musim ini, Mohd Izam Ikmal mencipta kejutan apabila mengungguli saingan kelayakan CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba pasukan SCK Honda Racing mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencatat masa terpantas 1 minit 20.732 saat (s).

"Saya agak terkejut dengan keputusan hari ini. Saya tidak pernah terfikir ingin 'kacau daun' dalam pemburuan takhta CP150 ini.

"Matlamat saya dalam sesi kelayakan hanya ingin terus mengasah skil peribadi dengan mengekori rapat pelumba-pelumba handalan lain," kata Izam yang ketika ini menduduki tangga ke-15 keseluruhan selepas lapan pusingan perlumbaan.

Daripada lima pelumba yang berpeluang bergelar juara musim ini, hanya empat pelumba berjaya layak untuk menyertai sesi SuperPole pada hari perlumbaan.

Kasma Daniel Kasmayudin mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan dengan catatan 1:20.863s manakala pendahulu kejuaraan, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team ketiga dengan 1:20.981s.

Mohd Akid Aziz mencatat masa keempat terpantas manakala Ahmad Afif Amran yang memburu gelaran juara ketiga dalam kerjayanya di kedudukan keenam.

Sementara itu, dalam saingan CP125, pendahulu kejuaraan, Mohd Adib Rosley mengambil pendekatan selamat apabila menamatkan sesi kelayakan di tempat kelapan dengan catatan masa 1:31.951s.

Adib hanya perlu menamatkan dua perlumbaan terakhir di kalangan 10 pelumba teratas untuk mengesahkan kedudukannya sebagai juara CP125 musim 2021.

Pelumba Tunebos Pink Racing, Mohd Harith Farhan Baharin muncul pelumba terpantas pusingan kelayakan apabila mencatat masa 1:30.715s diikuti Mohd Faiz Zekri Sabri yang mewakili pasukan Onexox Racing Team dengan 1:31.032s.

Dalam saingan kelayakan kelas Wira, pelumba Castrol Power1 Honda Team, Mohd Harith Haziq Zamri terpantas dengan catatan 1:32.480s.

Berita Harian X