Isnin, 6 Disember 2021 | 7:43am
Pelumba Mercedes Lewis Hamilton menujulang trofi Grand Prix Arab Saudi selepas mengatasi Max Verstappen (kiri) dari Red Bull dalam perlumbaan yang julung kali diadakan di litar jalan raya Jeddah Corniche. - Foto AFP
Pelumba Mercedes Lewis Hamilton menujulang trofi Grand Prix Arab Saudi selepas mengatasi Max Verstappen (kiri) dari Red Bull dalam perlumbaan yang julung kali diadakan di litar jalan raya Jeddah Corniche. - Foto AFP

Hamilton ungguli Grand Prix Arab Saudi

JEDDAH: Lewis Hamilton terus berpeluang memburu gelaran dunia kelapan selepas kemenangan mendebarkan di Grand Prix Arab Saudi.

Keputusan berkenaan meletakkan juara tujuh kali itu pada 369.5 mata bersama pesaing kejuaraan Max Verstappen menjelang perlumbaan terakhir di Abu Dhabi hujung minggu ini.

Hamilton berada di belakang Verstappen hampir sepanjang perlumbaan 50 pusingan itu yang terpaksa dihentikan dua kali kerana kemalangan dan beberapa kali diiringi kereta keselamatan serta kereta keselamatan maya.

Namun Hamilton, yang bahagian depan keretanya rosak akibat terlanggar belakang jentera Verstappen, bangkit memenangi perlumbaan kelapannya musim ini dan ke-103 kariernya.

Kejuaraan akan ditentukan di Abu Dhabi, dan jika masing-masing gagal mengutip mata, gelaran musim ini bakal menjadi milik Verstappen yang mengumpul sembilan kemenangan.

"Saya sudah lama berlumba tetapi kali ini cukup sukar," kata Hamilton yang mendapat mata tambahan kerana merakam pusingan terpantas.

Verstappen di tempat kedua, 11.825 saat di belakang Hamilton dan dikenakan penalti lima saat kerana pelanggaran dengan pemandu Mercedes itu. Kemudian penalti 10 saat lagi dikenakan ke atas Verstappen tetapi ia tidak memberi impak kepada kedudukan perlumbaan.

"Saya hanya mahu berlumba dan sukan ini lebih kepada penalti berbanding berlumba. Bagi saya ia bukan Formula 1, tetapi sekurang-kurangnya saya menikmatinya, cuma tidak cukup pantas," kata Verstappen.

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas mengatasi pelumba Alpine Esteban Ocon untuk tempat ketiga yang memberikan Mercedes kelebihan 28 mata dalam kejuaraan pengeluar. - AFP

Berita Harian X