Rabu, 1 Disember 2021 | 9:33pm
Affendi Rosli ketika saingan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Tangkak, baru-baru ini.
Affendi Rosli ketika saingan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Tangkak, baru-baru ini.

Affendi bersara selepas 17 tahun dalam permotoran

KUALA LUMPUR: Legenda sukan permotoran dua roda, Affendi Rosli bakal 'menggantung topi keledar' selepas 17 tahun bergiat aktif dalam sukan berkenaan.

Affendi yang pernah mencipta sejarah memecah dominasi pelumba Indonesia dalam kelas Underbone di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada 2009 berkata, kemunculannya di pusingan kemuncak musim Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 Disember ini adalah yang terakhir.

Pelumba berusia 36 tahun itu berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memberi tumpuan penuh kepada kerjayanya di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya nak memberi fokus kepada kerjaya kerana saya ada sasaran sendiri pada tahun depan. Saya nak mohon kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL).

"Apabila nak mohon, saya perlu menjalani kursus semula dalam pusat latihan. Jadi dalam beberapa bulan itu, tak boleh berhubung dengan orang luar," kata Affendi yang ketika ini berpangkat Lans Koperal.

"Sasaran akan datang, saya nak ke kadet inspektor. Jadi kena fokus belajar dan tentunya ia memerlukan banyak komitmen lain dalam usaha untuk meluaskan kerjaya saya dalam bidang ini."

Affendi memulakan kariernya dalam sukan permotoran dua roda pada 2004 dengan status gelaran juara keseluruhan kelas Underbone di ARRC 2009 menjadi kenangan yang paling sukar dilupakan.

"Paling tak boleh dilupakan dalam karier sebagai pelumba, saya muncul sebagai pelumba Malaysia yang berjaya memecahkan dominasi pelumba Indonesia pada 2009, di mana saya muncul juara Asia Underbone," katanya yang pada ketika ini membantu pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing sejak musim lalu.

Berita Harian X