Isnin, 28 September 2020 | 1:02pm
Peminat berharap pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dapat menyertai PETRONAS Yamaha SRT dan bukannya Rossi. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Peminat berharap pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dapat menyertai PETRONAS Yamaha SRT dan bukannya Rossi. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

'Rossi adalah Rossi, Hafizh adalah Hafizh' - Yuzy

KUALA LUMPUR: Keputusan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) mengikat pelumba legenda, Valentino Rossi harus diterima semua pihak meskipun ada yang mengharapkan kelibat bakat tempatan, Hafizh Syahrin Abdullah menyertai pasukan milik Malaysia itu.

Rossi yang juga juara dunia sembilan kali mengikat kontrak bagi saingan MotoGP 2021 dan nama Hafizh yang sebelum ini pernah menyertai saingan kelas perdana itu dari 2018 hingga 2019, menjadi bualan peminat sukan permotoran untuk menyertai pasukan PETRONAS Yamaha SRT.

Begitupun, harapan itu tidak kesampaian apabila pasukan pada minggu lalu mengumumkan penyertaan Rossi dan pelumba berusia 41 tahun itu digandingkan bersama 'anak muridnya', Franco Morbidelli sekali gus mengundang sedikit ketidakpuasan hati terutama dalam kalangan penyokong Hafizh.

Begitupun, bagi bekas pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Dunia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, semua pihak harus berlapang dada dan menerima keputusan itu secara positif.

"Ini salah satu soalan yang ramai bertanya kepada saya," kata Shahrol Yuzy yang pernah berada dalam grand prix kelas 250cc bersama Rossi pada tahun 1998 dan 1999.

"Rossi adalah Rossi dan Hafizh adalah Hafizh. Kalau kita ingin mengharapkan Hafizh berada dalam pasukan ini... iya betul, ia salah satu (proses) pembangunan (bakat) untuk pasukan Malaysia.

"Namun daripada sudut penjenamaan ataupun semuanya, kita kena mengambil pelumba yang lebih baik, maksudnya seperti Rossi. Kenapa tidak Hafizh, saya rasa Hafizh tak sama seperti Rossi dan Hafizh adalah Hafizh manakala Rossi adalah Rossi. Masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Bagi saya, (penyokong) Hafizh kena melihat perkara ini daripada satu sudut yang positif. Hafizh berpeluang (kembali beraksi di kelas MotoGP), tetapi belum bersedia untuk ke sana.

"Dalam MotoGP ini, kalau dilihat ia salah satu kelas yang sangat susah. Malah, juara dunia Moto2 yang berada di sana pun (kelas MotoGP) bergelut. Hafizh yang masih beraksi dalam Moto2 (musim ini) belum lagi berada di pentas podium tempat ketiga, belum dapat bersaing pada masa kering, jadi nampak sukar untuk dia berada di kelompok depan.

"Kalau kita memasuki kelas MotoGP ini, kita bukan menyertainya sekadar mencukupkan grid tetapi mampu bersaing dengan mereka, paling tidak di bawah satu saat, jadi itu sepatutnya yang perlu dilihat (oleh peminat), kenapa (pasukan) memilih Rossi dan bukannya Hafizh. Jangan dilihat daripada sudut negatif tetapi positif."

Berita Harian X