Ahad, 27 September 2020 | 9:11pm
Zulfahmi yakin kehadiran Rossi mampu beri impak besar kepada pasukan SIC Racing Team.
Zulfahmi yakin kehadiran Rossi mampu beri impak besar kepada pasukan SIC Racing Team.

Berbaloi tandatangani Rossi

SEPANG: Penyertaan legenda sukan permotoran dua roda, Valentino Rossi ke pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) untuk saingan MotoGP tahun depan disambut baik bekas pelumba negara Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan Zulfahmi Khairuddin.

Shahrol Yuzy yang menyertai pentas Kejuaraan Motosikal Dunia dari 2000 hingga 2002 berkata, penyertaan Rossi secara tidak langsung akan memberi sumber motivasi buat pelumba tempatan dan pasukan yang berkecimpung dalam arena sukan permotoran dua roda.

"Bagi saya, ini perkara yang baik. Ia memberi motivasi kepada pelumba dan pasukan yang ada di Malaysia," kata Shahrol Yuzy yang kini mengendalikan pasukannya, Honda Yuzy Racing.

"Dalam MotoGP ini, kalau tanpa Rossi, saya rasa MotoGP takkan semeriah sekarang walaupun beliau berada dalam kelompok lima atau 10 terbaik saja. Dengan kemeriahan Rossi ini, ramai peminat baik di televisyen ataupun di litar grand prix yang mahu menyaksikannya.

"Jadi ini salah satu daya penarik dimilikinya dan ia satu publisiti kepada negara, pasukan SRT (Sepang Racing Team) dan PETRONAS. Saya rasa daripada sudut keputusan (perlumbaan) Rossi, itu tak menjadi masalah. Ini (penyertaan Rossi) adalah satu perkara yang positif dan banyak membawa kebaikan daripada keburukan."

Sementara itu, Zulfahmi yang pernah mewakili negara dalam kelas Moto3 dan Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia berkata, penyertaan Rossi tentunya memberi impak besar kepada pasukan SIC Racing Team yang dikendalikannya.

"Sudah tentu saya gembira apabila pasukan menandatangani Rossi. Ini memberi impak besar terutama kepada pasukan Sepang Racing Team. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada Rossi dan ilmu ini boleh dibawa kepada pasukan pelapis (SIC Racing Team) ataupun kepada bakat yang ada.

"Tentunya Rossi adalah legenda sukan permotoran dunia dan ini sesuatu yang sangat baik," kata Zulfahmi.

Berita Harian X