Ahad, 13 September 2020 | 6:29pm
John McPhee meraikan kejayaan mengungguli GP San Marino sebentar tadi. - AFP
John McPhee meraikan kejayaan mengungguli GP San Marino sebentar tadi. - AFP

Bermula dari petak ke-17, penamat nombor 1

KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun tidak memenangi perlumbaan, pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee mengakhiri kemarau itu apabila mengungguli Grand Prix (GP) San Marino, sebentar tadi.

Lebih menarik, McPhee memenangi perlumbaan itu dengan bermula dari petak ke-17 daripada 31 pelumba di Litar Misano.

Dia melengkapkan 23 pusingan dengan catatan 39 minit 48.952 saat (s) sekali gus menewaskan dua pencabar terdekat dari Jepun Ai Ogura dan Tatsuki Suzuki.

Ogura dari pasukan Honda Team Asia yang menempah petak pertama sulung dalam kariernya, ketinggalan 0.037s di belakang McPhee, manakala rakan senegaranya, Suzuki (SIC58 Squadra Corse) melengkapkan pentas podium di tempat ketiga, dengan catatan 39'49.184s.

"Satu perlumbaan yang gila," kata McPhee sebaik saja menamatkan perlumbaan.

"Saya hilang kata-kata dan sangat gembira. Dari kedudukan ke-17 saya cuba sebaik yang mungkin. Terima kasih kepada pasukan kerana sudah berusaha sebaik mungkin.

"Saya sangat gembira kerana usaha yang dilakukan dan ia nyata berbaloi."

Kali pertama pelumba kelahiran Scotland itu meraih kemenangan bersama pasukan pada Mac tahun lalu di GP Perancis, selepas kali terakhir mengecapi kejayaan sama di GP Republik Czech 2016.

McPhee yang sudah lapan tahun menyertai kelas Moto3 kini berada di tangga ketiga dalam senarai pelumba dengan 92 mata.

Ogura berada di tangga kedua dengan 101 manakala mata Albert Arenas (Pull&Bear Aspar Team Moto3) yang tidak menamatkan perlumbaan kerana terjatuh mendahului carta, 106 mata.

Sementara itu, rakan sepasukan McPhee, Khairul Idham Pawi yang kembali beraksi selepas pembedahan memotong jari kelingking baru-baru ini menamatkan saingan di tempat ke-21 dengan catatan 40'07.283s.

Berita Harian X