Isnin, 17 Ogos 2020 | 7:38pm

'The Pirate' beralih ke dunia empat roda?

KUALA LUMPUR: Juara kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019, Azlan Shah Kamaruzaman bakal menimba pengalaman baharu dalam arena sukan permotoran empat roda apabila dijadual menyertai perlumbaan Merdeka Race di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 29 hingga 30 Ogos ini.

Azlan, 35, yang meminati kereta berkelajuan tinggi dijadual menyertai dua kelas perlumbaan iaitu Malaysia Speed Festival (MSF) dan Siri Kejuaraan Malaysia (MCS), masing-masing menggunakan jentera Honda EG6 dan Suzuki Swift bersama pasukan Empire M Racing.

"Dunia yang berbeza," kata Azlan yang dijadual bakal membuat penampilan sulung dalam perlumbaan kompetitif empat roda itu.

"Ini kali pertama mencuba untuk perlumbaan kereta. Tentunya banyak beza antara empat tayar dan dua roda tetapi apa yang penting saya menikmatinya."

Azlan ketika menguji jentera Honda EG6 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Azlan ketika menguji jentera Honda EG6 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Aksi Azlan ketika Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019, di Sepang. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Aksi Azlan ketika Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019, di Sepang. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Azlan muncul juara dalam kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Azlan muncul juara dalam kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Ditanya sekiranya ini adalah peralihan penuh dirinya daripada arena dua roda ke empat roda, Azlan yang dikenali dengan julukan 'The Pirate' berkata: "Tidak. Penyertaan saya ini adalah suka-suka dan untuk menimba pengalaman baharu."

Untuk rekod, saingan ARRC bagi musim 2020 hanya sempat berlangsung untuk satu pusingan di SIC pada Mac lalu sebelum kalendar kejuaraan ditunda susulan pandemik COVID-19 yang menular di seluruh dunia.

Azlan yang mewakili pasukan ONEXOX BMW TKKR SAG Team ketika itu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat keenam dan ke-10 pada Perlumbaan 2 untuk berada di tangga kelapan keseluruhan dalam carta pelumba kelas perdana berkenaan dengan 16 mata.

Pelumba YAMAHA Thailand Racing Team, Apiwath Wongthananon yang menunggang jentera YAMAHA YZF-R1M mendahului carta keseluruhan dengan 40 mata manakala rakan sepasukan Azlan, Markus Reiterberger berada di tangga kedua, 38 mata.

Yuki Ito daripada pasukan YAMAHA Racing Team ASEAN, berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 35 mata selepas memenangi Perlumbaan 1 dan berada di tempat keenam pada Perlumbaan 2 di Sepang.

Azlan ketika menguji jentera Honda EG6 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Azlan ketika menguji jentera Honda EG6 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Berita Harian X