Rabu, 8 Julai 2020 | 12:49pm
Aksi Adam Norrodin di Pusingan 1 Kejuaraan Moto2 Eropah di Litar Estoril, semalam. - Foto ZK Racing Team
Aksi Adam Norrodin di Pusingan 1 Kejuaraan Moto2 Eropah di Litar Estoril, semalam. - Foto ZK Racing Team

Adam agak kecewa pencapaian di Litar Estoril

KUALA LUMPUR: Pelumba Liqui Moly Intact SIC Junior Team, Adam Norrodin masih belum berpuashati dengan pencapaiannya pada aksi pertama saingan musim Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) 2020, semalam.

Adam menamatkan kedua-dua perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik di Litar Estoril, Portugal namun baginya kedudukan itu masih berada di luar sasaran diletakkan.

Justeru, pelumba berusia 22 tahun itu percaya masih ada ruang untuk dirinya memperbaiki kekurangan di pusingan seterusnya di Litar Algarve yang menjadi pusingan kedua musim dari 11 hingga 13 Julai ini.

"Hari ini (semalam), saya sedikit kecewa," katanya. "Meskipun saya berada dalam kelompok 10 terbaik, tetapi sasaran saya lebih baik daripada ini. Saya tahu masih ada ruang yang boleh diperbaiki lagi.

"Pada Perlumbaan 1 dan 2, saya bergelut terutama pada Perlumbaan 2. Saya berada dalam kedudukan keempat dan ia sukar untuk mengekalkan rentak. Saya boleh lihat catatan masa sepusingan saya di sektor 4 masih memerlukan penambahbaikan.

"Kami masih mempunyai pusingan seterusnya untuk memperbaiki apa yang termampu dan saya percaya di Algarve, saya dapat melakukan sesuatu yang lebih baik."

Adam menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan sebelum memperbaiki kedudukan di tempat kelapan pada Perlumbaan 2.

Pelumba dari Itali, Yari Montella memenangi kedua-dua perlumbaan dengan catatan 30 minit 36.300 saat (Perlumbaan 1) dan 30:34.598s (Perlumbaan 2).

Aksi Syarifuddin Azman dalam saingan Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia di Litar Estoril, semalam. - Foto ZK Racing Team
Aksi Syarifuddin Azman dalam saingan Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia di Litar Estoril, semalam. - Foto ZK Racing Team

Sementara itu, wakil pasukan SIC Junior Team yang bersama pasukan Monlau Motorsport dalam saingan Kejuaraan Remaja Moto3 Dunia, Syarifuddin Azman, tidak menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan ketika pertengahan saingan.

"Apa yang boleh saya katakan, saya sudah melakukan permulaan perlumbaan dengan baik. Malangnya, pada pertengahan perlumbaan, saya terjatuh di Selekoh 1 ketika cuba memintas rakan sepasukan.

"Saya terlalu mencuba dan ia menjadi satu pengajaran. Saya akan menunjukkan sesuatu yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya. Saya banyak belajar pada pusingan pertama ini dan terima kasih kepada pasukan," katanya.

Aksi Muhammad Sharul Ezwan di Litar Estoril, semalam. - Foto ZK Racing Team
Aksi Muhammad Sharul Ezwan di Litar Estoril, semalam. - Foto ZK Racing Team

Seorang lagi wakil pasukan yang beraksi dalam saingan European Talent Cup, Muhammad Sharul Ezwan (Liqui Moly Intact SIC Junior Team), menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-22 selepas tidak menamatkan saingan di Perlumbaan 1.

"Pada Perlumbaan 1, saya bermula dengan agak baik dan memintas beberapa pelumba namun di Selekoh 6, saya melakukan sedikit kesilapan dan tercicir di belakang di kedudukan ke-20. Saya cuba mengikuti kelompok di depan saya dan pada baki lima pusingan terakhir, saya terjatuh pada selekoh terakhir.

"Pada Perlumbaan 2, saya mempunyai masalah dengan gear yang berpunca daripada insiden Perlumbaan 1 dan masalah itu kerap berulang (gear). Apapun, pada pusingan seterusnya di Algarve, saya akan berusaha dengan lebih baik.

"Terima kasih kepada pasukan saya kerana begitu membantu di sepanjang minggu perlumbaan ini," katanya.

Berita Harian X