Sabtu, 6 Jun 2020 | 8:02pm
Hafizh Syahrin. - Foto Asyraf Hamzah
Hafizh Syahrin. - Foto Asyraf Hamzah

Harapan Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR: Trek kekal menjadi antara kemudahan diperlukan di Malaysia seandainya mahu melihat sukan permotoran negara terus berkembang maju dan mempunyai daya saing tinggi di peringkat antarabangsa.

Kemudahan seperti ini dilihat sebagai 'asas penting' bukan saja buat pelumba baik dalam arena empat roda ataupun dua roda memperkemaskan lagi bakat mereka sebelum beraksi di peringkat lebih tinggi selain membantu kejuaraan tempatan memperoleh venue yang lebih selamat dan praktikal.

Pandangan ini diluahkan ikon sukan permotoran dua roda negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang melihat sudah tiba masanya sukan permotoran negara diberi ruang perubahan apatah lagi sukan ini semakin menerima perhatian daripada rakyat Malaysia.

"Daripada pandangan saya, fasiliti di Malaysia ini agak kurang contohnya seperti trek kekal," kata Hafizh yang muncul selaku pelumba pertama negara beraksi dalam kelas perdana, MotoGP di Kejuaraan Motosikal Dunia dari 2018 hingga 2019 sebelum kembali turun ke kelas pertengahan, Moto2, musim ini.

"Kalau boleh, kita memerlukan trek kekal yang lebih banyak di setiap negeri. Saya tahu, perbelanjaan itu mungkin menelan belanja agak tinggi tetapi saya yakin Malaysia mampu membuat satu perubahan terbaik untuk sukan permotoran yang sangat dikenali dan popular di Malaysia ini.

"Ia secara tidak langsung dapat menjadi daya tarikan anak muda di luar sana. Sekiranya dapat dibuat di setiap negeri (trek kekal), saya sangat positif ia mampu menarik minat yang lebih ramai dan dalam masa sama kejuaraan seperti Cub Prix Malaysia turut boleh dibuat di trek kekal itu.

"(Sebagai contoh) di Eropah memang ada trek kekal seperti trek go-kart yang kecil - 1.5 kilometer (km), 1.1km ataupun 1km. Apabila Cub Prix dianjurkan di trek kekal ini, kejuaraan ini boleh membuat satu perlumbaan yang sangat menarik selain boleh menjaga tahap keselamatan yang lebih tinggi kerana ada trek kekal yang agak lebar dan mempunyai ruang (lebih luas).

"Saya yakin pelumba Malaysia juga mengharapkan apa yang saya harapkan. Apabila pelumba muda sudah mempunyai peluang menyertai pasukan lebih besar dengan dilengkapi persediaan fasiliti latihan (yang baik), saya rasa mereka akan mengambil peluang ini untuk pertingkatkan keupayaan diri masing-masing dan mengambil kelebihan daripada fasiliti latihan ini.

"Ini kerana, peluang seperti ini bukan semua orang boleh dapat."

Hafizh, 26, memulakan kariernya menerusi 'pocket bike' pada usia sembilan tahun sebelum beralih ke saingan Cub Prix.

Dari situ, Hafizh secara langkah demi langkah meniti saingan lebih tinggi antaranya Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) sebelum ke pentas dunia.

Mengulas lanjut, Hafizh yang menamatkan musim pertamanya dalam saingan MotoGP dengan berada di kedudukan 16 terbaik keseluruhan pada 2018 berkata: "Kalau dibandingkan dengan sekarang, tidak sama dengan saya dulu.

"Sekarang lebih mudah daripada zaman saya dulu. Jadi saya berharap, pelumba muda boleh melakukan yang terbaik supaya satu hari nanti ramai pelumba mengganti tempat saya dan membawa nama Malaysia lebih jauh dan lebih terkenal di seluruh dunia," katanya.

Berita Harian X