Khamis, 4 Jun 2020 | 4:35pm
Pelumba MotoGP dari pasukan Movistar Yamaha, Valentino Rossi ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun lalu. - Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad
Pelumba MotoGP dari pasukan Movistar Yamaha, Valentino Rossi ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun lalu. - Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad

Dorna Sports optimis MotoGP termasuk GP Malaysia bakal diteruskan

KUALA LUMPUR: Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP bersedia menganjurkan perlumbaan grand prix (GP) motosikal di luar benua Eropah pada hujung musim ini, biarpun berdepan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta berkata empat perlumbaan di luar benua Eropah berlangsung mengikut jadual - GP Thailand (4 Oktober), GP Malaysia (1 November), GP Amerika (14 November) dan GP Argentina, namun perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negara terbabit.

"Kami mempunyai tempoh hingga hujung Julai untuk memaklumkan kepada semua pihak sama ada perlumbaan diteruskan atau tidak. Selepas dua perlumbaan, kami akan melihat kembali kalendar sama ada menganjurkan 12, 14 atau maksimum 16 pusingan perlumbaan.

"Kalendar yang akan kami bentangkan, jika tiada sebarang masalah bermula pada 19 Julai di Litar Jerez, dan diikuti perlumbaan 12 atau 13 pusingan, pada November," katanya dalam satu kenyataan di laman web MOTOGP, www.motogp.com.

Berikutan itu, Ezpeleta berkata Dorna Sports menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam setiap paddock untuk mencegah jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelumba dan kru teknikal selepas perlumbaan MotoGP diteruskan semula.

Beliau berkata wakil daripada Dorna Sports akan bertemu dengan menteri sukan setiap negara penganjur MotoGP untuk membincangkan sebarang idea bagi menambah baik SOP setiap perlumbaan.

Ezpeleta berkata Dorna Sports berusaha untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dengan mengasingkan paddock antara pelumba dan kru teknikal dengan ahli keluarga, kawan-kawan dan saudara-mara.

"Mana-mana pelumba datang berlumba yang mempunyai sejarah perubatan sebelum ini, jika doktor memutuskan mereka perlu menjalani ujian, mereka perlu melakukannya sebelum menyertai perlumbaan pertama di Sepanyol (Litar Jerez).

"Kemudian, sebelum ke paddock, akan menjalani pemeriksaan dan mengikuti protokol kawalan setiap hari, termasuk beberapa perkara di paddock dan pengasingan antara setiap pasukan.

"Ada juga langkah-langkah penjagaan di tempat makan dan sebagainya, yang mana orang ramai datang dari hotel ke litar dan sebaliknya. Jelas ini adalah bagaimana keadaan sekarang, jika antara sekarang dan Julai, keadaan di mana-mana negara lebih fleksibel, kita membenarkannya," tegasnya.

Sehingga kini, 11 perlumbaan ditangguhkan atau dibatalkan susulan pandemik COVID-19 dan terkini, GP Jepun turut dibatalkan. - BERNAMA

Berita Harian X