Isnin, 1 Jun 2020 | 10:02am
Litar Silverstone. - Foto AFP
Litar Silverstone. - Foto AFP

Silverstone dijangka anjur 2 perlumbaan

LONDON: Silverstone akan dibenarkan mengadakan dua perlumbaan berturut-turut dalam saingan Formula Satu (F1) musim panas ini walaupun kerajaan British merancang memperkenalkan tempoh kuarantin, kata laporan hari ini.

BBC berkata, mereka yang terbabit dalam sukan elit itu akan diberikan pengecualian oleh kerajaan daripada peraturan dikenakan kepada semua penumpang antarabangsa bagi menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di UK.

Ia akan membolehkan Silverstone, yang sudah lama menjadi tuan rumah kepada Grand Prix British untuk mengadakan dua perlumbaan, yang dipercayai akan dijadualkan pada 2 dan 9 Ogos.

"Kami menyambut baik usaha kerajaan untuk memastikan sukan elit ini terus beroperasi menerusi sokongan untuk kami kembali berlumba," kata seorang jurucakap F1 kepada BBC.

"Kami akan mengadakan dialog tertutup bersama mereka dalam minggu-minggu akan datang ketika kami bersedia memulakan musim pada minggu pertama Julai."

Musim F1 masih belum berlangsung pada 2020 dengan 10 perlumbaan dibatal atau ditunda.

Kejuaraan berkenaan akan bermula dengan dua perlumbaan di Austria pada 5 dan 12 Julai manakala perlumbaan berikutnya dijadualkan di Hungary pada 19 Julai. - AFP

Berita Harian X