Sabtu, 9 Mei 2020 | 5:14pm
Litar Silverstone.
Litar Silverstone.

Britain, F1 optimis selamatkan saingan GP di Silverstone

LONDON: Pihak berkuasa sedang dalam perancangan untuk menyelamatkan penganjuran Grand Prix (GP) Britain yang bakal menyambut ulang tahun ke-70 pada musim panas ini.

Perlumbaan itu tampak hampir pasti menyertai pusingan Formula Satu (F1) yang dibatalkan susulan pandemik COVID-19 – dengan 300,000 pemegang tiket sudah ditawarkan pemulangan semula wang.

Namun pihak menteri di sana sedang berusaha keras bersama pengendali F1 mengenai cadangan melangsungkan perlumbaan tanpa penonton dan dipaparkan menerusi televisyen.

Kedua-dua pihak tampak begitu mahu menyelamatkan penganjuran ikonik Britain itu – yang dijadual berlangsung di Silverstone pada 19 Julai ini, sekiranya dipersetujui.

Litar di Northants menyambut ulangtahun ke-70 pada musim panas ini dengan kali pertama menjadi tuan rumah grand prix pada 1950.

Peminat diberi harapan apabila sumber kanan pihak kerajaan berkata: "Kami mengadakan perbincangan dan semua pihak positif. Sekiranya kita mampu melakukannya secara selamat, kita harus cuba melangsungkannya."

Ketua F1 ketika ini mempunyai firasat yang mereka mampu memulakan semula musim, dengan semua perlumbaan berlangsung secara tertutup – bermula di Austria pada 5 Julai ini.

Dalam perancangan itu, 10 pasukan F1 akan berkongsi kapal terbang yang disewa khas, tinggal dalam satu blok hotel dan bergerak dari sirkit menggunakan pengangkutan khas.

Terdapat juga ujian virus yang ketat, dengan peraturan penjarakkan dilaksanakan. Salah satu sumber industri berkata: "Kami yakin dapat melangsungkannya semula dengan selamat." - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X