Isnin, 9 March 2020 | 2:56pm
PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee menduduki tempat kedua kategori Moto3 Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail. - Foto BERNAMA
PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee menduduki tempat kedua kategori Moto3 Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail. - Foto BERNAMA

McPhee tempat kedua, Khairul Idham bergelut

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee memulakan musim ini dengan baik apabila menduduki tempat kedua kategori Moto3 Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail, malam tadi.

Pelumba Britain berusia 25 tahun itu mencatat masa 38 minit 08.994 saat (s), hanya 0.053s di belakang pelumba Sepanyol, Albert Arenas Ovejero daripada Aspar Team Gaviota yang merangkul kemenangan keempat Moto3 sejak 2018.

Pelumba Jepun, Ai Ogura daripada Honda Team Asia di tempat ketiga dengan catatan masa 38 minit 09.285s.

Rakan sepasukan McPhee, Khairul Idham Pawi, yang dikenali sebagai SuperKIP, menamatkan perlumbaan di tempat ke-26 daripada 29 pelumba dengan catatan masa 38:37.130s dalam perlumbaan 18 pusingan itu.

Keputusan diraih Khairul Idham itu sudah dijangka apatah lagi pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu baharu kembali dalam saingan kelas berkenaan selepas tiga tahun meninggalkannya.

Malah perlumbaan kompetitif di Litar Antarabangsa Losail itu juga adalah yang pertama buatnya selepas berehat daripada pembedahan jari kelingkingnya sejak April tahun lalu.

"Khairul bergelut, tetapi ia sudah dijangka selepas kembali daripada saingan Moto2, terutamanya tanpa perlumbaan selepas hampir setahun ke satu aksi kelas Moto3 yang nyata amat kompetitif.

"Dia boleh membuat penilaian mengenai prestasinya di sini dan berusaha mempertingkatkan lagi kemampuan diri untuk pusingan seterusnya selepas ini," kata prinsipal pasukan, PETRONAS Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali.

Dalam kelas Moto2, kedua-dua pelumba pasukan - Xavi Vierge dan Jake Dixon - menamatkan perlumbaan dalam kelompok yang menjanjikan kutipan mata dengan masing-masing menemui garisan penamat kesembilan dan ke-14.

"Keputusan yang hebat dalam saingan Moto2 apabila kedua-duanya mengutip mata. Kita perlu faham mengenai situasi tayar Xavi. Dia mempunyai kelajuan yang bagus tetapi kemudian menurun kerana penggunaan tayar, tetapi itu bukan dia seorang (yang berdepan isu itu).

"Perlumbaan yang sangat bagus untuk Jake juga, untuk bangkit dan meraih dua mata adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Dia mampu mengawal penggunaan tayar dengan sangat baik. Jadi secara keseluruhannya, semuanya positif dan kami menantikan perlumbaan seterusnya” kata Razlan.

Berita Harian X