Rabu, 26 Februari 2020 | 11:36pm
Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Jake Dixon dan keadaan jari manis di tangan kanannya yang patah.
Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Jake Dixon dan keadaan jari manis di tangan kanannya yang patah.

Pelumba PETRONAS patah jari manis

PUTRAJAYA: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Jake Dixon menerima 'lampu hijau' untuk meneruskan sesi ujian rasmi Moto2 bermula Jumaat ini di Litar Losail, Qatar selepas mengalami kemalangan dalam sesi ujian rasmi di Litar Jerez, minggu lalu.

Dixon yang sedang menyesuaikan diri dengan chasis Kalex berbanding KTM sebelum ini, mengalami kemalangan pada sesi kedua hari kedua ujian di Jerez dan menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ujian.

Kemalangan dialami menyaksikan Dixon yang hanya melakukan 93 pusingan dan mencatat masa sepusingan terpantas, 1 minit 42.131 saat untuk berada di tangga ke-25 selama tiga hari ujian keseluruhan itu, patah jari manis di tangan kanannya.

Begitupun, daripada maklum balas perubatan dilakukan di United Kingdom, pelumba berusia 24 tahun itu tampak bersedia meneruskan sesi ujian dan juga perlumbaan pertama musim 2020 di Litar Losail, Qatar dari 6 hingga 8 Mac ini.

"Saya berada dalam keadaan yang baik. Semuanya jelas daripada doktor untuk (saya) menyertai ujian dan perlumbaan. Akan menyakitkan tetapi ia OK dan saya perlu mendapatkan balutan yang baharu di trek sepanjang minggu.

"Apapun, ia akan menjadi lebih baik apabila Alpinestars menyediakan sarung tangan bagi membantu saya," kata Dixon yang pada tahun lalu menutup tirai 2019 dengan berada di tangga ke-25 dengan tujuh mata.

Penamat terbaiknya musim lalu adalah berada di tangga ke-12 di Grand Prix (GP) Belanda dan ke-13 di GP Valencia.

Berita Harian X