Ahad, 2 Februari 2020 | 4:30pm
Gambar fail, Pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo (kanan) bersama Repsol Honda Team, Marc Marquez ketika sidang media sempena perlumbaan Motogp 2019 di Litar Sepang. - Foto Syarafiq Abd Samad
Gambar fail, Pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo (kanan) bersama Repsol Honda Team, Marc Marquez ketika sidang media sempena perlumbaan Motogp 2019 di Litar Sepang. - Foto Syarafiq Abd Samad

Rossi sertai PETRONAS Yamaha SRT?

KUALA LUMPUR: PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) membuka ruang kepada mana-mana pelumba yang dilihat berpotensi menggantikan slot Fabio Quartararo yang bakal menyertai pasukan pengeluar utama Yamaha pada musim 2021 tatkala pasukan turut 'membuka pintu' buat legenda sukan permotoran dua roda, Valentino Rossi.

Buat masa ini PETRONAS Yamaha SRT yang juga pasukan satelit Yamaha, masih belum mempunyai perancangan lanjut mengenai senarai pelumbanya untuk musim 2021 meskipun pasukan utama pengeluar itu, Yamaha Factory Racing MotoGP Team sudah pun mengikat Quartararo dan melanjutkan kontrak Maverick Vinales sehingga 2022, baru-baru ini.

"Setakat ini, kami masih tidak mempunyai apa-apa perancangan. Kami masih melihat sesiapakah yang layak memasuki pasukan kami. Sudah tentu, keutamaan kepada Malaysia yang berpotensi dan mempunyai prestasi yang baik di Moto2 untuk layak menyertai pasukan ini," kata Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali mengulas mengenai sama ada Rossi berada dalam senarai pelumba pasukan sekiranya legenda itu tidak mengumumkan persaraan.

"Mengenai Valentino Rossi, andai dibaca... ada artikel yang mengatakan dia mahu ke pasukan ini. Ini satu penghormatan buat pasukan tetapi kami masih belum ada perbincangan atau masih belum mempunyai niat untuk mengambil dia setakat ini.

"Adakah ada kemungkinan?. Bagi saya, ia berkemungkinan sekiranya Rossi sendiri berjumpa dengan kami dan membincangkan minatnya untuk menyertai pasukan... di situ barulah kami buka ruang perbincangan, bukan saja bersama Rossi tetapi juga PETRONAS secara keutamaannya.

"Selain Rossi ataupun pelumba Malaysia yang ada (di Kejuaraan Motosikal Dunia), kami juga akan melihat pelumba di (saingan) Moto2 yang pasukan boleh bangunkan sebagaimana dilakukan pasukan terhadap Quartararo sebelum ini."

Buat masa ini hanya Franco Morbidelli yang masih belum diketahui arah tujunya untuk musim 2021 namun Razlan percaya akan ada satu perbincangan dilakukan pelumba dari Itali itu pada ujian rasmi pra musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang, minggu depan.

"Kami mengharapkan Morbidelli dapat buat yang terbaik untuk tahun ini. Setakat ini, tidak ada perancangan untuknya lagi bagi tahun 2021 dan saya yakin dia akan berbincang pada ujian pra musim, minggu depan," kata Razlan mengenai anak didik Rossi itu.

Berita Harian X