Jumaat, 17 Januari 2020 | 2:35pm
KETUA Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli. - Foto Owee Ah Chun

Laporan Khas: ISN sedia beri layanan sama rata

KUALA LUMPUR: Sukan permotoran negara mendapat perkhabaran gembira apabila Institut Sukan Negara (ISN) sedia memberikan perkhidmatan kepada pelumba negara, sama seperti yang diterima atlet sukan lain.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md Ramli menjelaskan pihaknya sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana atlet termasuk yang terbabit dalam sukan permotoran.

Beliau berkata, ISN juga sudah mengadakan perjanjian bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun lalu dengan menyediakan perkhidmatan seperti psikologi.

"ISN memberi perkhidmatan kepada SIC yang mana ada pakar psikologi kita bersama (mengikuti) mereka ketika menyertai perlumbaan termasuk di Eropah.

"Saya pasti ini satu langkah pertama. Sekiranya terdapat lagi pasukan lain yang ingin mendapatkan perkhidmatan daripada ISN, kita tiada halangan dan memberi peluang yang sama.

"Memang kita terbuka untuk berkolaborasi dan menawarkan perkhidmatan kepada pasukan lain. Setakat ini pasukan SIC memang kita beri perkhidmatan," katanya.

Ahmad Faedzal berkata demikian sebagai mengulas permintaan pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang mahu keringat turut diangkat seperti mana atlet sukan lain di Malaysia.

BH Sukan menerusi laporan khas sebelum ini melaporkan atlet dalam sukan permotoran didakwa tidak menerima kemudahan seperti atlet sukan lain termasuk dari aspek lanjutan pendidikan, insentif, kebajikan, kaunseling dan teknologi sains sukan dibawah badan berwajib.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faedzal mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai atlet negara dijangkiti Influenza A.

"Ini isu nasional dan kita memberi nasihat kepada atlet sama dengan apa yang diberikan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) selain menyediakan khidmat suntikan influenza," katanya.

Berita Harian X