Ahad, 17 November 2019 | 11:29pm
Penunggang Repsol Honda Team, Marc Marquez (tengah) muncul juara di Grand Prix (GP) Valencia, hari ini. - Foto AFP

Marquez sekat hajat Quartararo

KUALA LUMPUR: Fabio Quartararo meraih penamat podium ketujuh dalam karier sulungnya di kelas MotoGP pada pusingan penutup tirai musim 2019 di Grand Prix (GP) Valencia hari ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) itu memulakan perlumbaan di Litar Ricardo Tormo dari petak utama dengan juara dunia lapan kali, Marc Marquez sekali lagi menjadi penghalangnya untuk memburu kemenangan. 

Marquez yang mewakili Repsol Honda Team melengkapkan 27 pusingan perlumbaan dengan catatan keseluruhan terpantas 41 minit 21.469 saat manakala Quartararo ketinggalan 1.026s di tempat kedua. Jack Miller dari Pramac Racing melengkapkan pentas podium dengan catatan ketiga terpantas, 41'23.878s.

Biarpun kemenangan tidak memihak kepada Quartararo, pelumba dari Perancis itu tetap boleh tersenyum gembira apabila dimuktamadkan gelaran pelumba terbaik dalam kategori 'Independent Rider' dengan jumlah mata keseluruhan 192 mata. 

Jumlah kutipannya cukup untuk mengenepikan Miller yang berada di tangga kedua dengan 165 mata manakala Cal Cruthlow (LCR Honda CASTROL) yang tidak menamatkan perlumbaan berada di tangga ketiga terbaik, 133 mata. 

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli turut tidak menamatkan perlumbaan dan hanya melengkapkan 18 pusingan saingan. Pelumba Perancis itu berada di tangga keempat dalam kategori berkenaan.

Berita Harian X