Ahad, 3 November 2019 | 5:14pm
PENUNGGANG Monster Yamaha, Maverick Vinales beraksi dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, sebentar tadi. - Foto Aizuddin Saad

Vinales takluk Sepang

SEPANG: Penunggang Monster Yamaha, Maverick Vinales menampilkan tunggangan 'sempurna' untuk menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, sebentar tadi.

Ia adalah kemenangan pertama pelumba dari Sepanyol itu dan Yamaha sejak GP Belanda di Assen dengan juara dunia dari Repsol Honda, Marc Marquez menamatkan saingan di tempat kedua.

Bermula di petak kedua, Vinales memanfaatkan kelebihan berlumba di barisan hadapan dengan memimpin perlumbaan sejak awal sehingga garisan penamat ketika kesilapan menyaksikan cabaran dua pelumba pasukan PETRONAS Yamaha SRT, berkubur.

Sekali pun memulakan perlumbaan di petak utama, Fabio Quartararo hanya menamatkan saingan di tangga ketujuh manakala Franco Morbidelli yang memulakan saingan di petak ketiga di kedudukan keenam.

"Saya amat gembira. Kami sentiasa berjuang untuk mencabar kejuaraan dan kami berjaya melakukannya di sini," kata Vinales. "Tahniah kepada pasukan dan juga kepada peminat."

Sementara itu, Marquez yang memulakan perlumbaan di petak ke-11 susulan terbabit kemalangan ketika sesi kelayakan, semalam berjaya memecah kelompok depan untuk memulakan pusingan pertama di kedudukan keempat.

Begitupun, selepas beberapa pusingan berada di belakang pelumba Ducati, Jack Miller dan Andrea Dovizioso, peluang juara dunia itu untuk mencabar Vinales tampak sukar.


MAVERICK Vinales meraikan kemenangan selepas menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, sebentar tadi. - Foto Aizuddin Saad

Melengkapkan kedudukan podium di Sepang ialah Dovizioso yang berjaya menyekat serangan pelumba legenda Yamaha, Valentino Rossi yang terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tangga keempat.

Berbaki satu pusingan saja lagi di Valencia, kemenangan menyaksikan Vinales mendaki ke tangga ketiga keseluruhan pelumba.

Sementara itu, penunggang negara Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan saingan di tangga ke-16.

1. Maverick Vinales (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1),    40m 14.632 saat (s)

2. Marc Marquez    (SPA) Repsol Honda (RC213V)    +3.059s

3. Andrea Dovizioso (ITA) Ducati Team (GP19)    +5.611s

4. Valentino Rossi (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1)    +5.965s

5. Alex Rins (SPA) Suzuki Ecstar (GSX-RR)    +6.350s

6. Franco Morbidelli (ITA) Petronas Yamaha (YZR-M1)    +9.993s

7. Fabio Quartararo (FRA) Petronas Yamaha (YZR-M1)*    +12.864s

8. Jack Miller (AUS) Pramac Ducati (GP19)    +17.252s

9. Danilo Petrucci (ITA) Ducati Team (GP19)    +19.773s

10. Joan Mir (SPA) Suzuki Ecstar (GSX-RR)*    +22.854s

11. Pol Espargaro (SP) Red Bull KTM Factory (RC16)    +24.821s

12. Francesco Bagnaia (ITA) Pramac Ducati (GP18)*    +30.251s

13. Aleix Espargaro (SPA) Factory Aprilia Gresini (RS-GP)    +30.447s

14. Jorge Lorenzo (SPA) Repsol Honda (RC213V)    +34.215s

15. Mika Kallio (FIN) Red Bull KTM Factory (RC16)    +34.461s

16. Hafizh Syahrin (MAL) Red Bull KTM Tech3 (RC16)    +44.319s

17. Karel Abraham (CZE) Reale Avintia Ducati (GP18)    +47.343s

Berita Harian X