Ahad, 3 November 2019 | 3:10pm
SYARIFUDDIN Azman menutup tirai ATC dengan kemenangan.

Syarifuddin gegar litar Sepang

SEPANG: Wakil Malaysia di Asia Talent Cup (ATC), Syarifuddin Azman mencetuskan kegembiraan buat penyokong tempatan di Litar Antarabangsa Sepang apabila memenangi Perlumbaan 2, hari ini. 

Pada pusingan kemuncak musim 2019 itu, Syarifuddin atau dikenali 'Damok' melengkapkan perlumbaan berkenaan dengan catatan 30 minit 13.366 saat sekali gus meletakkan dirinya di tangga keenam keseluruhan pada 112 mata. 

Pelumba Jepun Sho Nishimura muncul selaku juara keseluruhan 2019 dengan 177 mata manakala rakan senegara Takuma Matsuyama berada di tangga kedua, 169 mata. 

"Kemenangan sebagai penutup ATC 2019. Semua yang baik datang daripada Allah SWT," kata Syarifuddin.

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua terutamanya ibubapa, keluarga saya, rakan-rakan, bos (pasukan) YAM dan Boon Siew Honda Malaysia, penaja terutama Idemitsu, Alpinestars, Dunlop dan seluruh keluarga Asia Talent Cup."

Semalam, perlumbaan sokongan bagi Grand Prix (GP) Malaysia itu berduka apabila salah seorang peserta dari Indonesia Afridza Munandar meningggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan di Selekoh 10 Perlumbaan 1. 

Susulan daripada insiden berkenaan, bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dibatalkan.

Allahyarham yang berusia 20 tahun itu diberi rawatan kecemasan di tepi litar sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan helikopter namun tidak dapat diselamatkan. 

Dalam senarai keseluruhan, Afridza berada di tangga ketiga dengan 142 mata. ATC turut bertakafur seminit sebagai penghormatan kepada Afridza . 

"Di kesempatan ini juga marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat sahabat dan rakan seperjuangan, Allahyarham Afridza Munandar. Moga syurga buatmu," kata Syarifuddin.

Berita Harian X