Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:50pm
Danial Syahmi ketika menjalani rawatan fisioterapi di KLSMC.

Semangat Danial ke MotoGP tak pernah padam

 

KUALA LUMPUR: Tarikh 4 November 2018 menjadi detik ngeri buat Danial Syahmi Ahmad Shahril dan kurang dua minggu lagi, genap setahun pelumba muda berbakat itu menjalani rawatan bagi memulihkan kecederaan serius di bahagian betisnya.

Begitupun 'jiwa kelajuan' masih tersemat dalam nalurinya meskipun sehingga hari ini 'berkampung' di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) bagi menjalani rawatan lanjut proses pembinaan semula tulang betisnya.

Ia berikutan kemalangan ketika bersaing sengit dengan pencabar dari Jepun di garisan penamat pada perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) - perlumbaan sokongan untuk Grand Prix (GP) Malaysia. 

Tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter (cm) yang pada ketika kejadian dilihat tiada lagi harapan untuk diselamatkan. 

Mujur ada pilihan kedua untuk tidak memotong kakinya dan selepas hampir setahun, proses pembinaan tulangnya menunjukkan perkembangan positif. 

Danial yang perlu menjalani pembedahan lanjut di bahagian lutut dalam masa terdekat ini berkata, dia tidak menganggap insiden berkenaan sebagai pematah semangat dalam mengejar impiannya beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia malah menyatakan keinginannya segera kembali menunggang motosikal.


Danial Syahmi ketika menjalani rawatan fisioterapi di KLSMC.

"Keadaan kaki saya ketika ini sangat bagus dan tulang pun semakin pulih sepenuhnya namun masih belum cukup kuat untuk menunggang motosikal lagi. Mungkin tahun depan boleh mula menunggang semula. InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu.

"Duduk di hospital, memanglah sedikit membosankan. Berbeza dengan di rumah, saya seorang yang tidak duduk diam. Selalu ikut Zulfahmi Khairuddin (pengurus pasukan ZK Racing Team) pergi ke garaj atapun melakukan latihan kecergasan. 

"Sudah tentu keinginan berlumba semakin membuak-buak. Setiap kali ada perlumbaan seperti MotoGP, Cub Prix, ATC, saya akan menontonnya dan rasa berdebar seolah-olah saya sendiri yang sedang berlumba," kata pelumba berusia 17 tahun itu yang sudah menjalani kira-kira 10 pembedahan sejak November tahun lalu. 

"Yang akan buat lagi (pembedahan), di bahagian buku lali kerana sedikit bengkok. Doktor akan buat satu lagi pembedahan untuk meluruskannya semula dan (selepas itu) saya boleh kembali berjalan seperti biasa, melakukan latihan kecergasan dan menunggang motosikal," katanya.  

Danial juga memberitahu yang dirinya tidak pernah serik untuk menunggang motosikal biarpun sedar betapa karier ditempuhnya itu menyajikan risiko tinggi.

"Bagi saya, risiko bermain motosikal ini tinggi. Jatuh adalah perkara biasa, insiden seperti ini mungkin ada hikmah untuk saya lebih maju di masa depan dan dapat melakukan yang lebih baik pada musim depan," kata pelumba yang menyertai program pembangunan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Impian ke MotoGP itu.

Berita Harian X