Ahad, 20 Oktober 2019 | 5:09pm
John McPhee menamatkan 20 pusingan perlumbaan di Litar Twin Ring Motegi di tempat keenam. - Foto AFP

McPhee, Sasaki kutip mata di GP Jepun

KUALA LUMPUR: Dua pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing menamatkan Grand Prix (GP) Jepun dalam kelompok pungutan mata manakala wakil pasukan dalam kelas Moto2, Adam Norrodin meraih kedudukan terbaiknya selepas menggantikan Khairul Idham Pawi di GP San Marino, bulan lalu.

Wakil kelas Moto3, John McPhee menamatkan 20 pusingan perlumbaan di Litar Twin Ring Motegi di tempat keenam dengan catatan 39 minit 38.514 saat manakala rakan sepasukannya yang beraksi di laman sendiri, Ayumu Sasaki di tempat ke-13 (39'48.174s).

Mengulas mengenai perlumbaan hari ini, Sasaki yang berada di tangga ke-20 keseluruhan dengan 53 mata berkata, keadaan hujan pada sesi latihan bebas ketiga dan juga kelayakan sedikit merencatkan usaha kru pasukan dalam menyediakan pelarasan terbaik untuk beraksi di atas permukaan litar kering.

"Kami sedikit tercicir pada Sabtu kerana hujan dan ia memberi makna pelarasan kami untuk keadaan kering hari ini tidak begitu baik. Saya tidak mampu untuk memecut seperti dimahukan dalam perlumbaan.

"Kami melakukan sedikit perubahan selepas sesi pemanas badan untuk meningkatkan kemampuan motosikal, tetapi ia tidak berhasil seperti diharapkan dan saya tidak boleh memberi saingan yang secukupnya dalam perlumbaan.

"Saya melakukan permulaan baik tetapi saya terbabas sedikit dan perlu berusaha lebih gigih untuk mengekalkan rentak kelajuan dan juga posisi. Beberapa baki pusingan terakhir begitu sengit dalam kelompok 10 terbaik, tetapi saya melakukan sedikit kesilapan yang meletakkan saya di belakang.

"Mengambil kira pelarasan motosikal tidak begitu sempurna kami boleh mengambil positif dengan keputusan ini dan cuba meletakkan sasaran lebih baik di Australia nanti," kata Sasaki. 

Sementara itu, Adam meraih penamat terbaiknya dengan berada di tempat ke-22 dengan catatan keseluruhan 41'56.738s - menamatkan perlumbaan untuk kali kedua selepas di GP Thailand, 6 Oktober lalu. 

"Sudah pasti kami perlu mencari sesuatu yang lebih baik untuk pusingan seterusnya. Saya fikir kami sudah berusaha dengan baik sehingga sekarang dan kami akan terus berusaha mempersiapkan diri untuk perlumbaan akan datang," kata Adam yang dijadual menyertai GP Australia 27 Oktober ini.

Berita Harian X