Sabtu, 19 Oktober 2019 | 7:42pm
Md Haziq Md Firdaus (tengah) ungguli Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS kelas CP150 manakala tempat kedua, Ahmad Afif Amran (kiri) dan tempat ketiga Nazirul Izzat Md Bahauddin di Litar Lumba Tangkak. - NSTP/Adi Safri

Haziq ungguli kelas CP150 di Tangkak

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues meraih kemenangan pertamanya dalam kelas CP150 musim ini di Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini. 

Haziq merekodkan catatan masa terpantas keseluruhan 14 minit 50.393 saat sekali gus mengenepikan pencabar utama, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 14:52.378s. 

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat Md Bahauddin melengkapkan pentas podium dengan catatan 14:52.792s.

Pada perlumbaan kelas perdana itu, kedudukan pendahulu sering bersilih ganti dengan Afif menguasai awal saingan sebelum Izzat mengambil alih kedudukan pada pertengahan perlumbaan. 

Namun strategi Haziq lebih membuahkan hasil meskipun kelompok tiga terbaik yang turut diisi Izzat sentiasa memberikan aksi dramatik dan penuh mendebarkan.

“Terima kasih kepada seluruh kru pasukan yang menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi perlumbaan hari ini. Ini kemenangan pertama saya musim ini dan berharap momentum cemerlang ini berterusan dalam baki dua saingan lagi selepas ini,” kata Haziq.

Dengan kemenangan itu, Haziq kini menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan 93 mata manakala kedudukan pendahulu masih kekal menjadi milik Afif dengan 127 mata. 

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar di kedudukan kedua dengan 102 mata.

Saingan Pusingan 9 akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 16-17 November nanti.

Berita Harian X