Sabtu, 19 Oktober 2019 | 6:54pm
Aksi pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) Franco Morbidelli di Grand Prix (GP) Jepun. - Foto EPA

Morbidelli, Quartararo tempah barisan depan GP Jepun

 

KUALA LUMPUR: Dua pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo bakal memberi saingan kepada juara 2019, Marc Marquez di Grand Prix (GP) Jepun esok selepas masing-masing bakal bermula dari barisan depan. 

Morbidelli meraih petak kedua yang juga barisan depan ketiganya musim ini manakala rakan sepasukan, Quartararo melengkapkan barisan depan di Litar Twin Ring Motegi selepas mencatat masa ketiga terpantas sesi kelayakan dengan catatan,1 minit 45.94 saat. 

Marquez memuktamadkan gelaran juara kelapannya di GP Thailand baru-baru ini menyambar petak utama dengan catatan terpantas, 1'45.763s namun Quartararo yang sentiasa menjadi pencabar kepada pelumba Repsol Honda Team itu, enggan terlalu memikirkan soal kemenangan.

"Sudah pasti kami mempunyai peluang tetapi ia bukan sasaran utama saya," kata Quartararo yang setakat ini sudah meraih lima penamat di pentas podium pada penampilan sulungnya dalam kelas perdana itu tahun ini.

"Sasaran utama saya adalah menikmati perlumbaan dan memberikan saingan seperti (perlumbaan) sebelum ini. Saya tidak memberi tumpuan kepada kemenangan tetapi mahu menikmati satu perlumbaan yang baik dan cuba bersaing untuk kemenangan.

"Untuk perlumbaan esok, saya perlu melakukan permulaan yang bagus dan lihat apakah yang mampu dilakukan nanti. Jujurnya, saya berasa baik, jika dapat permulaan yang baik, kami dapat bersaing untuk podium. Kami akan buat 100 peratus dan memberi saingan kepada mereka."

Setakat 15 pusingan musim ini, Quartararo sudah mengumpul 143 mata dan mengungguli carta pelumba muka baharu (rookie) terbaik manakala Morbidelli yang memasuki tahun keduanya dalam kelas perdana, berada di tangga ke-10 dengan 90 mata. 

Berita Harian X