Rabu, 16 Oktober 2019 | 1:38pm

F1 bakal diadakan di Miami

MIAMI: Formula Satu (F1) sudah bersetuju menganjurkan Grand Prix Miami pada Mei 2021 dan bakal dilangsungkan di Stadium Hard Rock, namun perkara itu masih perlu mendapatkan kelulusan kerajaan tempatan dahulu, menurut laporan Miami Herald.

Formula Satu dan penganjur tempatan pada April lalu menangguhkan rancangan menganjurkan perlumbaan di tengah Miami selepas mendapat bantahan penduduk dan peniaga tempatan. 

Penganjur kemudian mengubah rancangan dengan membina litar perlumbaan di Stadium Hard Rock, iaitu pangkalan pasukan NFL, Miami Dolphins milik hartawan, Stephen Ross.

“Kami teruja mengumumkan yang Formula Satu dan Stadium Hard Rock sudah mencapai kata sepakat secara prinsipnya untuk menganjurkan Formula Satu GP Miami buat kali pertama di Stadium Hard Rock,” kata CEO Dolphins, Tom Garfinkel dan pengarah urusan operasi komersial F1, Sean Bratches dalam kenyataan bersama.

“Dengan anggaran impak tahunan melebihi AS$400 juta (RM1.676 bilion) dan penyediaan 35,000 bilik semalam, GP Miami F1 akan menjadi penggerak ekonomi bagi Selatan Florida pada setiap tahun.”

“Kami berterima kasih kepada peminat, pegawai dan industri pelancongan tempatan atas kesabaran dan sokongan sepanjang proses ini,” kata Grafinkel.

Perlumbaan itu bakal menjadi Grand Prix kedua buat Amerika Selatan selepas Austin, Texas. – Reuters

 

Berita Harian X