Isnin, 14 Oktober 2019 | 7:05pm
RAMDAN Rosli

Ramdan, Idil positif jalani proses pemulihan

KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda negara mengalami kemalangan di Litar Albacete, Sepanyol masing-masing dalam Kejuaraan Moto2 Eropah dan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia (CEV), semalam. 

Pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing, Ramdan Rosli yang bersaing dalam saingan Moto2 patah tulang 'femur' (paha) ketika Perlumbaan 2 manakala Idil Fitri Mahadi (Moto3) terjatuh sewaktu sesi kelayakan kedua dan mengalami patah di bahagian pergelangan kaki dan tangan.

Ramdan selamat menjalani pembedahan di Hospital de Albacete dan dijadual mampu berjalan seperti biasa dalam tempoh terdekat. 

Sementara itu, Idil yang mewakili SIC Junior Team dilaporkan pasukan sudah boleh berjalan sendiri dan pelumba muda itu berharap dapat kembali pulih segera menjelang pusingan seterusnya yang juga kemuncak musim 2019 di Litar Ricardo Tormo 10 November ini.


IDIL Fitri Mahadi

"Untuk minggu ini, saya mempunyai perasaan yang baik dengan motosikal. Saya melakukan masa sepusingan yang baik minggu ini bermula daripada sesi latihan bebas pertama lagi sehinggalah sesi kelayakan kedua. 

“Namun malangnya, saya terjatuh di sesi kelayakan kedua dan mengalami patah pergelangan kaki dan tangan.

"Sesuatu yang mengecewakan kerana saya tahu kali ini saya boleh membuktikan kepada semua yang saya mampu melakukan yang lebih baik berbanding pusingan sebelum ini. Saya berharap dapat pulih secepat mungkin dan bersedia untuk pusingan seterusnya di Valencia," kata Idil.

Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Junior Team, Zulfahmi Khairuddin berpuashati dengan pelumbanya itu walaupun Idil tidak mampu untuk meneruskan sesi perlumbaan.

"Walaupun Idil tidak menyertai perlumbaan, dia sudah berusaha dengan begitu gigih daripada sesi latihan pertama lagi sehinggalah terjatuh pada sesi kelayakan kedua. Saya dapat lihat, dia menunjukkan banyak peningkatan dilakukannya pada minggu ini," kata Zulfahmi.

Berita Harian X