Isnin, 14 Oktober 2019 | 1:44pm
PEMANDU Mercedes AMG, Lewis Hamilton.

F1: Hamilton enggan terburu-buru

SUZUKA: Lewis Hamilton berkata beliau tak perlu terburu-buru untuk memenangi gelaran keenam kejuaraan dunia selepas perebutan gelaran hanya tinggal antara dua pelumba Mercedes di Grand Prix (GP) Jepun, di sini, semalam.

Jelajah Formula Satu (F1) akan beralih ke Mexico dalam tempoh dua minggu lagi dengan Hamilton mendahului 64 mata ke atas Valteri Bottas yang mampu melengkapkan gelaran pemandu buat kali ketiga berturut-turut jika mengatasi rakan sepasukannya itu dengan 14 mata.

Kemungkinan persaingan bagi merebut gelaran ini dijangka berakhir di perlumbaan berikutnya di GP Amerika di Austin, Texas.

Kemenangan Bottas di sini manakala Hamilton di tangga ketiga mengesahkan kejuaraan keenam berturut-turut buat Mercedes sebagai pengeluar dan menjadikan pelumba Finland itu sebagai satu-satunya pemandu yang boleh memintas Hamilton dalam empat perlumbaan terakhir musim ini.

“Bagi saya, saya tidak perlu terburu-buru untuk melakukan segala-galanya,” kata Hamilton kepada media semalam sambil menambah dia bakal berdepan saingan sengit daripada rakan sepasukan dalam beberapa perlumbaan terakhir.

“Valtteri memandu dengan baik sepanjang tahun. Dia melakukan tugas dengan baik hari ini dan sudah pasti dia akan melakukan tugasnya dengan baik pada perlumbaan berikutnya. Jadi kami masih bertarung, perjuangan ini berterusan,” katanya.

Hamilton tidak menjangka saingan mudah di litar Mexico yang mungkin sesuai dengan Ferrari kerana memiliki kelebihan di laluan lurus.- AFP

Berita Harian X