Ahad, 13 Oktober 2019 | 11:37am
SEBASTIAN Vettel beraksi dalam sesi kelayakan Grand Prix Jepun di Suzuka. - Foto AFP

Vettel tempah petak pendahulu GP Jepun

SUZUKA, Jepun: Sebastian Vettel menampilkan catatan sepusingan epik di Suzuka sebentar tadi ketika Ferrari mengambil petak pendahulu bagi saingan Grand Prix Jepun di depan rakan sepasukan, Charles Leclerc.

Pemandu Jerman itu mencatat masa 1 minit 27.064 saat, hampir perpuluhan dua saat lebih pantas berbanding Leclerc, dalam saingan diganggu angin kencang selepas kelayakan ditangguhkan semalam.

Pasangan Mercedes, Valtteri Bottas dan pendahulu keseluruhan Lewis Hamilton masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat.

“Saya rasa kami agak terkejut, kami tidak menjangkakannya, berada di barisan depan. Sangat gembira,” kata Vettel yang menampilkan pemanduan sempurna untuk mengatasi rakan sepasukan buat pertama kali dalam 10 perlumbaan sejak Grand Prix Kanada pada Jun.

“Petak pendahulu tidak mustahil, Seb terlalu pantas,” kata Leclerc. “Tahniah kepadanya.”

Pasangan Mercedes mencatat masa terpantas konsisten pada latihan Jumaat dan dua sesi kelayakan hari ini namun gagal menandingi apa dilakukan Ferrari.

“Kami sentiasa tahu Ferrari mungkin menyimpan sesuatu untuk menukar keadaan,” kata Bottas. “Kami masih belum tewas, mari lihat beberapa jam lagi.” - AFP

Berita Harian X