Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:22pm
Prinsipal PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Razlan yakin pelumba SRT mampu menang

KUALA LUMPUR: Prinsipal PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali percaya dua pelumbanya berada di landasan tepat untuk merealisasikan impian pasukan itu merangkul gelaran pertama dalam kelas MotoGP.

Beliau berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan pasukan setakat ini termasuk ketika hampir merealiasikan impian itu pada perlumbaan Grand Prix (GP) Thailand, semalam apabila menyaksikan Fabio Quartararo menamatkan saingan di tempat kedua.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli pula menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

"Kami sangat hampir hari ini (semalam), jadi kami tetap gembira dengan keputusan perlumbaan kali ini apabila dua pelumba kami menamatkan saingan di tempat kedua dan keenam.

"Bagi kami untuk berada di kedudukan keempat carta pasukan adalah sesuatu yang menakjubkan terutama apabila kami berjaya mengukuhkan kedudukan di carta pasukan bukan pengeluar.

"Apa pun, fokus kami tetap sama iaitu akan terus bekerja keras sebagai persiapan menghadapi pusingan seterusnya GP Jepun dalam merelisasikan impian untuk meraih gelaran pertama MotoGP yang mana kami hampir melakukannya hari ini (semalam)," kata Razlan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pelumba Moto2, Adam Norrodin, Razlan berkata pelumba berkenaan menunjukkan peningkatan prestasi positif apabila mencapai sasaran ditetapkan pasukan dengan menamatkan perlumbaan.

"Kami meletakkan sasaran untuk Adam menamatkan perlumbaan bagi membolehkan dia meraih seberapa banyak pengalaman malah dia juga berjaya meraih kedudukan baik," katanya.

Bagi saingan Moto3, Razlan menganggap tuah tidak menyebelahi dua pelumbanya, Ayumu Sasaki dan John McPhee yang gagal menamatkan perlumbaan.

Berita Harian X