Sabtu, 5 Oktober 2019 | 7:29pm
HAFIZH Syahrin (kanan) ketika sesi kelayakan GP Thailand, hari ini.

Hafizh sasar kelompok depan

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah mahu memberi sepenuh tumpuan kepada perlumbaan Grand Prix (GP) Thailand esok selepas sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand tidak berlangsung seperti diingininya. 

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu mencatat 1 minit 31.979 saat pada sesi kelayakan untuk memulakan 26 pusingan perlumbaan daripada petak terakhir (ke-22).

"Agak mengecewakan untuk melihat posisi terakhir dalam sesi kelayakan namun kelajuan yang kami capai pada FP4 (sesi latihan bebas keempat) hari ini dan juga pada Q1 (sesi kelayakan pertama), membuatkan saya berasa baik. 

"Saya hanya beberapa saat untuk memperbaiki kedudukan saya, tetapi esok adalah hari perlumbaan - hari yang lebih penting. 


HAFIZH Syahrin ketika sesi kelayakan GP Thailand, hari ini.

"Saya harap saya boleh menjadi lebih fokus dan bersedia untuk perlumbaan yang pastinya sangat panas dan panjang. 

"Saya harap dapat kekal bersama kelompok di depan saya dan sasaran utamanya adalah untuk mencari posisi yang menawarkan kutipan mata," kata Hafizh yang bakal turun ke saingan kelas Moto2 musim depan. 

Hafizh dilaporkan bakal beraksi bersama pasukan Angel Nieto sebagai ganti kepada Jake Dixon yang dikatakan bakal berpindah ke pasukan PETRONAS Sprinta Racing untuk saingan musim 2020.

Selepas 14 pusingan musim, Hafizh kini berada di tangga ke-24 keseluruhan dengan tujuh mata. 

Selepas Thailand, saingan Kejuaraan Motosikal Dunia dijadual ke Litar Twin Ring Motegi, Jepun pada 20 Oktober ini.

 

 

Berita Harian X