Sabtu, 5 Oktober 2019 | 6:33pm
FABIO Quartararo meraikan petak utama keempatnya dalam kelas MotoGP musim ini di GP Thailand.

Yamaha kuasai petak depan GP Thailand

KUALA LUMPUR: Tiga pelumba Yamaha menguasai dua barisan pertama perlumbaan Grand Prix (GP) Thailand dengan Fabio Quartararo menyambar petak utama keempat dalam karier sulungnya untuk kelas MotoGP musim ini selain memperbaharui rekod sepusingan Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, hari ini.  

Quartararo yang mewakili pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) mencatat masa terpantas 1 minit 29.719 saat pada sesi kelayakan kedua, 0.106s di depan pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales yang berada di petak kedua.

Malah, catatan dilakukan Quartararo itu turut memperbaharui rekod sepusingan terpantas litar berkenaan, mengatasi catatan dilakukan Dani Pedrosa ketika ujian rasmi MotoGP 2018, 1:29.781s.

Juara bertahan dan juga pendahulu carta keseluruhan ketika ini, Marc Marquez daripada Repsol Honda Team melengkapkan barisan pertama dengan catatan, 1'29.931s.

"Kami memberikan segala-galanya," kata Quartararo. "Ini adalah satu tugas yang baik daripada pasukan, Yamaha dan juga diri sendiri. Terima kasih kepada mereka."


MORBIDELLI (nombor 21) ketika aksi di GP Thailand.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli mengepalai barisan kedua perlumbaan dengan berada di petak keempat tatkala dua wakil Ducati - Danilo Petrucci dan Jack Miller - masing-masing berada di petak kelima dan keenam.

Selepas 14 pusingan, Morbidelli yang memasuki tahun keduanya dalam kelas perdana itu masih belum menemui penamat di pentas podium dan untuk kali ini, dia berkata: "Saya gembira dengan keputusan ini, barisan kedua yang menepati sasaran kami untuk hari ini. 

"Kami mampu melakukannya dan saya juga gembira dengan rentak kelajuan yang ada walaupun mungkin ada beberapa perkara lagi yang perlu ditambahbaik. Apapun, saya akan cuba seperti biasa. Saya tidak tahu. Namun sekiranya kami dapat membuat peningkatan, pasti kami dapat meraihnya (penamat di podium)."

 

 

Berita Harian X