Sabtu, 5 Oktober 2019 | 6:28pm
PELUMBA Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki. - Foto AFP

Sasaki bermula di petak belakang

KUALA LUMPUR: Ayumu Sasaki menerima 'hukuman' dilakukannya pada sesi latihan pertama dengan dijadual mengharungi perlumbaan Grand Prix (GP) Thailand esok dari petak kedua paling belakang. 

Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu dikenakan penalti grid di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand kerana menunggang secara perlahan pada sesi berkenaan yang menyaksikan dirinya melakukan catatan kesembilan terpantas keseluruhan, 1 minit 43.481 saat semalam. 

Sasaki yang memasuki usia 19 tahun bagaimanapun enggan mengambil pusing mengenai hukuman berkenaan dan dia mencatatkan 1'44.251s pada sesi kelayakan untuk berada di kedudukan ke-18. 

Begitupun, atas penalti grid yang dikenakan itu, Sasaki harus bermula daripada petak ke-28 - sebaris pelumba Kommerling Gresini Moto3, Riccardo Rossi yang berada di grid terakhir.

"Saya bermula daripada belakang esok tetapi saya mempunyai keyakinan yang kuat," kata Sasaki. "Kami sudah bersedia untuk perlumbaan. Sekarang ini, kami perlu fokus kepada sesi pemanas badan kerana ia penting dan kita lihat apakah yang akan berlaku pada perlumbaan. 

"Ini kali pertama bermula daripada petak belakang tetapi semuanya berkemungkinan (bersaing dengan kelompok depan) kerana perlumbaan di trek ini kebiasaannya membabitkan kelompok yang besar. Saya perlu fokus dan cuba memintas pesaing dalam dua pusingan awal, tidak terjatuh dan melakukan yang terbaik."

Rakan sepasukan Sasaki, John McPhee bermula daripada petak ke-13 selepas mencatat 1'43.398s pada sesi kelayakan kedua. 

Pelumba SKY Racing Team VR46, Celestino Vietti menyambar petak utama pertamanya musim ini dengan mencatat masa terpantas, 1'42.599s.

Sementara itu, dalam kelas Moto2, Adam Norrodin dijadual memulakan perlumbaan daripada petak paling akhir, ke-32 selepas mencatat 1'37.775s pada sesi kelayakan.

 

 

Berita Harian X