Jumaat, 4 Oktober 2019 | 10:35pm
AYUMU Sasaki

Sasaki sambut hari lahir dalam kelompok 10 terbaik

KUALA LUMPUR: Ayumu Sasaki menyambut ulang tahun ke-19 dengan berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan untuk hari pertama saingan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, hari ini.

Pelumba pasukan Moto3 PETRONAS Sprinta Racing itu berada di tempat kesembilan dengan mencatat masa sepusingan terpantasnya pada sesi latihan bebas pertama dengan catatan 1 minit 43.481 saat sebelum melakukan 1'44.447s pada sesi seterusnya.

Keputusan itu bagaimanapun masih belum dapat menyamai catatan terbaiknya untuk saingan hari pertama tahun lalu yang menyaksikan Sasaki melakukan 1'43.468s, apatah lagi dia dikenakan penalti yang bakal menyaksikan dirinya bermula dari petak belakang perlumbaan Ahad ini atas kesalahannya di sesi latihan bebas pertama.

Namun bagi Sasaki, masih ada ruang untuk memperbaiki catatan masa tatkala dirinya masih memburu penamat di podium sebagai 'hadiah' kepada pasukan sebelum berpindah ke pasukan lain, musim depan.

"Kami meraih minggu yang baik, permulaan yang bagus," kata pelumba dari Jepun itu. "Kami perlu fokus untuk esok dan cuba melakukan yang terbaik dan bersaing memburu podium walaupun daripada grid belakang."

Rakan sepasukan Sasaki, John McPhee pula mencatat 1'43.682s pada sesi latihan bebas kedua untuk berada di tempat ke-17 terbaik.

Selepas 14 pusingan musim, Sasaki sudah mengumpul 50 mata untuk berada di tangga ke-18 keseluruhan carta pelumba Moto3 manakala McPhee keempat dengan 126 mata. Pelumba dari Scotland itu ketinggalan 58 mata daripada pendahulu, Lorenzo Dalla Porta (Leopard Racing).

Sementara itu, wakil pasukan dalam kelas Moto2, Adam Norrodin mencatat 1'38.284s untuk berada di tempat ke-31 daripada 32 pelumba tatkala dirinya semakin mengenali jentera Moto2 yang digunakan.

"Masih belum pulih sepenuhnya. Pada awal, saya dapat rasakan yang bahu masih kuat tetapi apabila memasuki beberapa baki terakhir pusingan, ia seperti kurang berupaya walaupun tidak merasa sakit.

"Kami perlu cuba memikirkan mengenai hari perlumbaan kerana ia menggunakan banyak masa dan trek ini mempunyai selekoh yang banyak. Jadi kami perlu memikirkan strategi untuk hari perlumbaan.

"Jujurnya, saya sudah serba sedikit mengetahui bagaimana untuk menunggang motosikal ini. Apapun bagi saya, sasarannya adalah untuk sentiasa menjadi lebih pantas daripada catatan pusingan sebelum itu," kata Adam.

Berita Harian X