Jumaat, 4 Oktober 2019 | 10:31pm
FABIO Quartararo

Quartararo ungguli hari pertama saingan GP Thailand

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo mengungguli hari pertama saingan Grand Prix (GP) Thailand yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, hari ini.

Quartararo mencatat masa terpantas keseluruhan dengan 1 minit 30.404 saat pada sesi latihan bebas kedua dan memperbaiki catatan masanya pada sesi sebelum itu, 1'31.170s manakala rakan sepasukannya, Franco Morbidelli ketiga, 1'30.625s.

Catatan dilakukan kedua-dua pelumba pasukan ini memberi isyarat awal betapa Yamaha mampu memberikan saingan di litar berkenaan tatkala Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP) muncul kedua terpantas dengan catatan terbaiknya 1'30.597s dan Valentino Rossi berada di tempat kelima, 1'30.733s.

"Jujurnya, tahun lalu saya tidak mengetahui mengenai motosikal ini," kata Quartararo yang kali pertama beraksi di Thailand menggunakan jentera MotoGP.

"Namun daripada sesi latihan bebas tahun lalu dan juga perlumbaan... motosikal mempunyai prestasi yang baik.

"(Untuk sesi kelayakan, hari ini), kami perlu berusaha ke atas rentak kelajuan, masih belum mencukupi dan kami akan melakukan sesuatu dan membuat beberapa perubahan."

Sementara itu, Morbidelli menyifatkan hari pertama GP Thailand sebagai positif meskipun terdapat kebimbangan mengenai keadaan cuaca yang dijangka hujan, hari ini.

"Kami bermula dengan agak baik. Motosikal juga berada dalam keadaan sangat baik dalam beberapa perlumbaan sebelum ini. Saya gembira, kami bekerja dengan baik dan pada sebelah petang, kami berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik. Ini satu petanda yang baik kerana kami tidak tahu bagaimana cuaca di sini.

"Apapun, kita perlu lihat bagaimana keadaan esok (hari ini) dan kami tahu yang kami mempunyai kelajuan yang sangat bagus dan kami perlu lebih baik lagi. Bagaimanapun, keutamaannya adalah untuk berada di dalam dua barisan depan," kata Morbidelli.

Selepas pusingan di Aragon, pasukan PETRONAS Yamaha SRT tiba di Thailand dengan momentum cemerlang, berada di tangga pertama senarai 'Independent Rider' menerusi Quartararo dan juga 'Independent Team'.

Berita Harian X