Jumaat, 4 Oktober 2019 | 7:46pm
PELUMBA Sepanyol, Marc Marquez. - Foto AFP
PELUMBA Sepanyol, Marc Marquez. - Foto AFP

Marquez terbabit kemalangan di GP Thailand

BURIRAM, Thailand: Pelumba Sepanyol, Marc Marquez bangkit daripada 'mimpi ngeri' selepas terbabit kemalangan untuk merekodkan masa keenam terpantas pada sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang, di sini, hari ini.

Pelumba pasukan Honda itu terpaksa dikejar ke Hospital Buriram bagi menjalani ujian imbasan magnetic resonance imaging (MRI) selepas jatuh ketika mengambil selekoh pada sesi latihan bebas di sebelah pagi.

Marquez memberitahu pemberita yang dia disahkan cergas untuk beraksi pada perlumbaan sebenar biarpun berasa sakit di bahagian belakang dan lutut susulan kemalangan itu.

"Ia adalah mimpi ngeri, selama lima saat saya tidak dapat bernafas," kata pelumba berusia 26 tahun itu.

"Impaknya cukup besar."

Katanya, insiden itu berpunca daripada kesilapannya tetapi tayar baharu yang digunakan dan keadaan litar turut menjadi antara faktor insiden berkenaan.

Marquez turun di Litar Antarabangsa Chang dengan status sebagai juara bertahan selepas mengugguli GP Thailand, tahun lalu.

Sementara itu, pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo mengungguli hari pertama GP Thailand selepas mencatat masa terpantas.

Dia mencatat masa terpantas keseluruhan dengan 1 minit 30.404 saat pada sesi latihan bebas kedua sekali gus memperbaiki catatan masanya pada sesi sebelum itu, 1'31.170s manakala rakan sepasukannya, Franco Morbidelli ketiga, 1'30.625s.

Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP) muncul kedua terpantas dengan catatan terbaiknya 1'30.597s dan Valentino Rossi berada di tempat kelima, 1'30.733s.

- AFP

Berita Harian X