Jumaat, 20 September 2019 | 10:26pm
Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Sasaki kelima terpantas di Aragon

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki meletakkan dirinya dalam kelompok lima terpantas keseluruhan bagi saingan hari pertama Grand Prix (GP) Aragon, hari ini.

Sasaki mencatat masa terpantas sepusingan 1 minit 59.014 saat dalam sesi latihan bebas kedua untuk berada di tempat kelima dalam kelas Moto3 tatkala rakan sepasukannya John McPhee kelapan dengan rekod terpantas peribadinya, 1'59.122s.

Pelumba Itali, Andrea Migno dari pasukan WWR menguasai senarai keseluruhan saingan kelas permulaan itu dengan catatan terpantas 1'58.566s manakala Tatsuki Suzuki yang memenangi perlumbaan di GP San Marino minggu lalu berada di tempat kedua (1'58.652s).

Catatan ketiga terpantas di litar MotorLand Aragon dicatat Tony Arbolino dari pasukan VNE Snipers manakala rakan sepasukan Migno, Jaume Masia keempat, 1'58.784s.

"Satu sesi yang baik, saya dapat kembali kuat dan berada di depan," kata Sasaki. "Itu perkara utama yang saya ingin lakukan hari ini selepas kekecewaan di Misano.

"Sasaran pada minggu ini adalah untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan dan kru yang sudah berusaha dengan sebaik mungkin. Saya mahu berikan mereka sesuatu yang menggembirakan kepada mereka minggu ini.

"Saya akan mengekalkan motivasi dan mentaliti yang baik ini. Esok mungkin hujan. Dalam masa sama, saya perlu mempertingkatkan tunggangan dalam keadaan hujan dan ia satu matlamat yang baik. Saya tidak tahu bagaimana, tetapi yakin untuk melakukan dengan baik dalam keadaan hujan."

Selepas 13 pusingan musim, Sasaki sudah mengumpul 47 mata untuk berada di tangga ke-18 keseluruhan tatkala Lorenzo Dalla Porta dari Itali mendahului saingan dengan 179 mata.

Berita Harian X