Isnin, 9 September 2019 | 12:21am
CHARLES Leclerc beraksi dalam Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza, hari ini. - Foto AFP

Leclerc julang Ferrari di Monza

MONZA: Charles Leclerc menghadiahkan Ferrari kemenangan pertama di gelanggang sendiri, Grand Prix (GP) Itali sejak 2010 di Litar Monza, hari ini selepas mengetepikan saingan sengit Mercedes sekali gus menjulang kemenangan kedua kariernya di Formula Satu (F1).

Pemandu berusia 21 tahun dari Monaco itu mendedikasikan kemenangan sulungnya di F1, minggu lalu kepada rakannya yang maut di GP Belgium, Anthoine Hubert dalam perlumbaan F2.

Kemenangan Leclerc dan Ferrari itu disambut meriah kira-kira lebih 150,000 peminat Itali yang digelar 'tifosi'.

“Perlumbaan yang hebat!,” kata Leclerc. “Saya tidak pernah berasa begitu penat dalam perlumbaan. Ia amat sukar. Bagi saya, adalah satu mimpi untuk menang di sini di hadapan 'tifosi', terima kasih kepada semua orang!"

Lelcerc berjaya mengatasi saingan pemandu Mercedes, Valtteri Bottas di penghujung perlumbaan yang menamatkan saingan di tempat kedua manakala penyandang juara dunia, Lewis Hamilton melengkapkan kedudukan podium.


CHARLES Leclerc meraikan kemenangan Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza, hari ini. - Foto AFP

Hamilton yang turut memburu kemenangan dikecewakan dengan keadaan tayarnya dan selepas melakukan hentian pit, pelumba Britain itu melakukan catatan sepusingan terpantas litar.

Rakan sepasukan Leclerc, Sebastian Vettel mengharungi hari yang sukar apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-13 dan turut dikenakan penalti susulan tindakannya memandu secara merbahaya.

Hamilton begitupun tetap mengemudi kedudukan pendahulu keseluruhan dan dibezakan 63 mata dengan Bottas.

Tempat keempat di Monza menjadi milik pelumba Australia, Daniel Ricciardo manakala rakan sepasukannya di Renault, Nico Hulkenberg di tempat kelima.

Pelumba baru Red Bull, Alex Albon meraih tempat keenam diikuti Sergio Perez (Force India) dan rakan sepasukan Albon, Max Verstappen. - Reuters

Berita Harian X