Ahad, 1 September 2019 | 12:18am
PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc. - Foto REUTERS
PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc. - Foto REUTERS

Leclerc terpantas kelayakan GP Belgium

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium: Charles Leclerc merangkul petak utama Grand Prix (GP) Belgium apabila merakam catatan terpantas sesi kelayakan dengan Ferrari mendominasi barisan depan.

Pelumba kelahiran Monaco itu, yang mencatat masa terpantas pada dua sesi latihan bebas dan memburu kemenangan sulungnya di Formula Satu (F1) mencatatkan 1 minit 42.519 saat (s). Ia 0.748s lebih pantas berbanding rakan sepasukannya di Ferrari, Sebastian Vettel.

Ia adalah petak utama ketiga Leclerc musim ini selepas Bahrain dan Austria tetapi dia gagal menamatkan saingan di kedua-dua perlumbaan sebagai pemenang.

Bagi Ferrari, ia adalah barisan pertama pertama buat pasukan dari Itali itu sejak Bahrain pada Mac dan ke-63 dalam sejarah pasukan, kurang satu berbanding Mercedes.

Penyandang juara dunia dan pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton akan memulakan perlumbaan di petak ketiga manakala rakan sepasukannya, Valtteri Bottas di petak keempat diikuti Max Verstappen dan Daniel Ricciardo dari Renault.

“Perasaannya cukup baik,” kata Leclerc. “Kami bergelut sedikit dengan masalah kelajuan dan kami perlu mengatasinya, tetapi saya yakin kami akan kompetitif.”

Vettel dalam pada itu kecewa dengan keadaan trafik di litar ketika dia melakukan pusingan terakhir.

“Pada akhirnya, ia bagus kerana kami meraih barisan hadapan, tetapi untuk bersaing bagi petak utama saya berada dalam barisan.”

Hamilton yang berdepan kemalangan ketika sesi latihan bebas terakhir berkata: “Ia adalah sesi yang teruk bagi saya dan menyakitkan kerana saya tahu betapa sukarnya untuk memperbaiki semula jentera. Ferrari melakukan kerja yang hebat dan saya berharap kami dapat bersaing dengan mereka.” - AFP

Berita Harian X