Jumaat, 23 Ogos 2019 | 10:38pm
Pelumba Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Ayumu Sasaki. - Foto Luqman Hakim Zubir
Pelumba Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Ayumu Sasaki. - Foto Luqman Hakim Zubir

Sasaki, McPhee 15 terbaik sesi latihan bebas

KUALA LUMPUR: Dua pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing menamatkan saingan hari pertama Grand Prix (GP) British dalam kelompok 15 terbaik keseluruhan.

Ayumu Sasaki mencatat masa terbaiknya 2 minit 12.770 saat pada sesi latihan bebas kedua bagi meletakkan dirinya berada di tempat ke-12 keseluruhan untuk kedua-dua sesi latihan bebas, hari ini. 

John McPhee yang menandatangani lanjutan kontrak baharu bersama pasukan bagi musim depan pula berada di tempat ke-14 dengan catatan terbaiknya 2'13.001s - juga di sesi latihan bebas kedua. 

Pelumba VNE Snipers, Tony Arbolino dari Itali menguasai carta keseluruhan hari pertama dengan catatan terbaiknya 2'12.008s yang dilakukan pada sesi latihan bebas pertama. 

Mengulas mengenai perlumbaan pusingan ke-12 di litar Silverstone itu, Sasaki yang dikatakan bakal meninggalkan pasukan musim depan berkata: "Cuaca di sini luar biasa.

"Ramalan kaji cuaca menyatakan cuaca untuk tiga hari ini baik. Saya sukakan permukaan litar kering daripada basah dan tentunya ini menggembirakan saya."

Tahun lalu, perlumbaan di Silverstone terpaksa dibatalkan susulan hujan lebat selain terdapat takungan air di sebahagian trek dan ia mengundang bahaya kepada pelumba.

Berita Harian X