Rabu, 3 Julai 2019 | 7:58pm
SEPANG 13 FEBRUARI 2019. Pelumba Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Ayumu Sasaki ketika sesi ujian tertutup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
SEPANG 13 FEBRUARI 2019. Pelumba Moto3 Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Ayumu Sasaki ketika sesi ujian tertutup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Sasaki mahu bukti kemampuan sebenar di Sachsenring

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki ada peluang membuktikan kemampuannya di Litar Sachsenring, Jerman minggu ini selepas tuah tidak menyebelahinya di Grand Prix Belanda, hujung minggu lalu. 

Sasaki yang memasuki tahun ketiganya dalam kelas Moto3, menamatkan perlumbaan dekat Assen di tempat ke-17 selepas mempamerkan tunggangan menarik di Barcelona-Catalunya (16 Jun) dengan menemui garisan penamat kelapan. 

Bagaimanapun tonik kejayaan itu tidak dapat membantu Sasaki memperoleh satu lagi penamat dalam kelompok 10 terbaik di Assen dan kali ini, pelumba berusia 19 tahun itu mahu memburu keputusan lebih bagus sebelum saingan berehat sebulan.  

"Sachsenring adalah trek yang saya amat minati dan kami hanya perlu fokus pada setiap sesi bagi memastikan kami mampu bersaing dengan kelompok depan semula," kata Sasaki yang ketika ini sudah mengumpul 22 mata untuk berada di tangga ke-20 keseluruhan carta Moto3. 

"Saya mahu satu keputusan kukuh sebelum memasuki rehat musim panas, jadi kami perlu kekal memberikan tumpuan dan cuba bersedia untuknya. Tahun lalu, saya meraih keputusan yang baik di sana dan perasaan sentiasa bagus mengenainya."

Sepanjang tiga musim beraksi dalam kelas Moto3, pencapaian terbaik Sasaki di Sachsenring adalah berada di tempat ke-10 tahun lalu dan pada 2017, Sasaki menamatkan perlumbaan di tempat ke-17. 

Sementara itu rakan sepasukannya dari Scotland, John McPhee mahu meneruskan momentum positif seperti dijelmakan di Assen, menamatkan perlumbaan di tempat kelima selepas bermula dari petak ke-20.

"Saya sangat gembira yang kami akan kembali beraksi minggu ini kerana kami mempunyai beberapa masalah kecil di Assen meskipun mampu mengatasinya dengan menamatkan saingan di tempat kelima.

"Sachsenring adalah sebuah trek yang saya gemari, saya pernah berada di podium di sana tiga tahun lalu dan ia sentiasa sesuatu yang seronok apabila menunggang. Jadi kami akan cuba mengekalkan momentum agar berterusan dan meraih satu lagi minggu bagus," katanya. 

 

Info Sachsenring

Panjang litar: 3.671km

Selekoh: 13 (10 kiri, 3 kanan)

Laluan paling panjang: 700m

Lebar: 12m

Jarak perlumbaan (Moto3): 99.117km (27 pusingan)

Rekod catatan sepusingan litar: 1:26.877s (Brad Binder, Mahindra, 2014)

 

 

Berita Harian X