Sabtu, 29 Jun 2019 | 8:35pm
Aksi pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John Mcphee. - Ihsan PETRONAS
Aksi pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John Mcphee. - Ihsan PETRONAS

McPhee mula di petak ke-20 GP Belanda

KUALA LUMPUR: Hasrat John McPhee untuk terus mengutip mata mungkin sukar selepas pelumba Petronas Sprinta Racing itu bakal memulakan Grand Prix Belanda dari petak ke-20.

Ia susulan pelumba Moto3 dari Great Britain itu terjatuh pada sesi kelayakan pertama sekali gus tidak dapat meneruskan aksi.

Bagaimanapun, peluang itu pantas dimanfaatkan rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki yang meraih petak ke-10 dengan kepantasan sepusingan 1 minit 42.004 saat.

"Saya mengawal jentera dengan baik pada awalnya, tapi ketika mengambil selekoh saya terjatuh.

"Sebenarnya dari segi kepantasan semuanya OK, namun saya tidak bernasib baik kerana terjatuh sekali gus menyukarkan keadaan," katanya.

Memasuki pusingan kelapan perlumbaan pada kempen 2019, McPhee kini mengumpul keseluruhan 47 mata untuk menghuni tangga kesembilan jauh meninggalkan Sasaki di kedudukan ke-20 dengan 22 mata.

Pada sesi kelayakan berkenaan menyaksikan pelumba SIC58 Squadra Corse dari Itali, Niccola Antonelli muncul sebagai pelumba terpantas dengan catatan masa 1'41.232 s untuk memulakan perlumbaan di petak depan bersama Kaito Toba (Jepun) dan Toby Arbolino (Itali).

Berita Harian X