Ahad, 23 Jun 2019 | 11:54pm
Lewis Hamilton (tengah) meraikan kejayaan menjuarai Grand Prix (GP) Perancis. - Foto AFP
Lewis Hamilton (tengah) meraikan kejayaan menjuarai Grand Prix (GP) Perancis. - Foto AFP

Hamilton takluk GP Perancis

LE CASTELLET, Perancis: Lewis Hamilton mengukuhkan dominasi di pentas Formula Satu (F1) apabila menjuarai Grand Prix (GP) Perancis, sebentar tadi dengan rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas melengkapkan tempat kedua.

Penyandang juara itu mengulangi kejayaan yang diraih pada tahun lalu di Litar Paul Ricard untuk memenangi perlumbaan keenamnya musim ini dan ke-79 kariernya.

Kemenangan pelumba kelahiran Britain itu turut meneruskan rentak tanpa kalah Mercedes pada musim 2019 selepas mengharungi lapan pusingan untuk keseluruhan ke-10 berturut-turut.

Hamilton kini mengungguli carta pelumba dengan kelebihan 36 mata mengatasi Bottas manakala pelumba kelahiran Monaco, Charles Leclerc membawa jentera Ferrari untuk melengkapkan kedudukan podium di Paul Ricard.

“Jelas ia minggu yang amat baik,” kata Hamilton. “Keadaan di sini amat mencabar  dan saya menikmatinya. Saya tidak dapat melakukannya tanpa pasukan yang menakjubkan ini dan kami sedang mencipta sejarah. Saya amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripadanya.”

Bottas yang menangkit cabaran sengit Leclerc di penghujung perlumbaan mengakui Hamilton memiliki jentera yang amat pantas.

“Pada akhirnya, Lewis amat laju hari ini dan saya tidak dapat menyaingi kepantasannya,” kata Bottas.

Pelumba Red Bull, Max Verstappen menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat, di depan seorang lagi pelumba Ferrari Sebastian Vettel diikuti pelumba McLaren, Carlos Sainz.

Vettel yang memulakan perlumbaan di petak ketujuh selepas berdepan masalah ketika sesi kelayakan menggunakan strategi hentian pit lewat untuk mendapatkan tayar baharu sebelum memecahkan rekod terpantas litar milik Hamilton.

Leclerc dalam pada itu mengakui jentera yang dimiliki Hamilton dan Bottas sukar untuk disaingi.

“Saya memberikan segala-galanya, tetapi Mercedes terlalu laju.” - AFP

Berita Harian X