Sabtu, 25 Mei 2019 | 11:48pm
PEMANDU Mercedes AMG, Lewis Hamilton. - Foto EPA
PEMANDU Mercedes AMG, Lewis Hamilton. - Foto EPA

Hamilton raih petak utama GP Monaco

MONACO: Lewis Hamilton meraih petak utama di Grand Prix Monaco dengan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas menyertai pendahulu Formula Satu itu di barisan depan.

Petak utama berkenaan, yang ke-85 dalam karier pemandu Britain itu serta yang kedua musim ini, hadir ketika sukan pemotoran masih berkabung dengan kematian juara dunia tiga kali dan pengerusi bukan eksekutif Mercedes, Niki Lauda.

“Ini adalah petak utama terbaik,” kata Hamilton yang menafikan peluang Bottas untuk mengisi kedudukan itu buat kali keempat berturut-turut selepas mencatat 0.086 saat lebih pantas berbanding pemandu Finland itu.

“Ini untuk Niki.”

Pemandu Red Bull Max Verstappen di petak ketiga dan Sebastian Vettel dari Ferrari keempat.

Kesilapan Ferrari menafikan peluang seorang lagi pemandunya, Charles Leclerc untuk bersinar di laman sendiri, dengan pemandu 21 tahun itu gagal melepasi fasa pertama kelayakan dan akan bermula dari petak ke-16 selepas mencatat pusingan terpantas pada sesi latihan terakhir.

Rakan sepasukan Verstappen, Pierre Gasly di petak kelima dengan Kevin Magnussen keenam untuk Haas, manakala Daniel Ricciardo, pemenang tahun lalu untuk Red Bull, ketujuh bersama jentera Renault. – REUTERS

 

Berita Harian X