JEREZ: Penyandang juara dunia MotoGP, Marc Marquez dari Honda memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Sepanyol mengatasi pelumba Suzuki, Alex Rins dan Maverick Vinales dari Yamaha.
Marquez yang memulakan perlumbaan di petak ketiga mengetuai saingan sejak awal sehingga akhir dengan kemenangan menyaksikannya merampas kembali carta pendahulu.
Pada perlumbaan pusingan sebelum ini di Amerika Syarikat, penunggang kelahiran Sepanyol itu terjatuh.
“Ia lebih sukar dari sudut mental berbanding fizikal,” kata Marquez.
Selepas memenangi dua daripada empat pusingan musim ini, Marquez yang mengumpul 70 mata kembali mendaki carta pendahulu, kelebihan satu mata di depan rakan senegaranya Rin.
Penunggang Ducati dari Itali, Andrea Dovizioso ketiga selepas mengutip 67 mata dengan pelumba legenda Itali, Valentino Rossi (Yamaha) di tangga keempat selepas mengumpul 61 mata.
Perlumbaan pusingan berikutnya adalah di GP Perancis di Litar Bugatti Circuit, berdekatan Le Mans dalam tempoh 15 hari.
Sementara itu dalam kelas Moto2, pelumba Itali Lorenzo Baldassari memenangi perlumbaan sekali gus mengukuhkan kedudukannya di carta pendahulu kelas kedua Kejuaraan Motosikal Dunia itu.
Pada perlumbaan kelas Moto3, Honda melengkapkan penguasaan 1-2 apabila kedua-dua pelumbanya, Niccolo Antonelli dan Tatsuki Suzuki mendaki podium. - AFP
Kedudukan podium GP Sepanyol
MotoGP
1. Marc Marquez (ESP) Repsol Honda, 41 minit (m) 8.685 saat (s)
2. Alex Rins (ESP) Suzuki Ecstar, 41m 10.339s
3. Maverick Viñales (ESP) Monster Yamaha, 41m 11.128s
Moto2
Lorenzo Baldassarri (ITA) Flexbox HP 40 (Kalex) 25m 33.841s
Jorge Navarro (ESP) HDR Heidrun Speed Up (Speed Up) 25m 34.200s
Augusto Fernandez (ESP) Flexbox HP 40 (Kalex) 25m 34.932s
Moto3
Niccolò Antonelli (ITA) SIC58 Squadra Corse (Honda) 39m 30.327s
Tatsuki Suzuki (JPN) SIC58 Squadra Corse (Honda) 39m 30.569s
Celestino Vietti (ITA) SKY Racing Team VR46 (KTM) 39m 30.632s